HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2013

Pakatan Pahang kalah kerana pengundi Felda, luar bandar

 
Bedah siasat awal menunjukkan pengundi Felda takut kepada Pakatan Rakyat, terutama terhadap orang Cina dan India dalam komponen itu.



PETALING JAYA: Kegagalan Pakatan Rakyat menembusi kerusi di kawasan Felda serta pengundi luar bandar menyebabkan parti pembangkang itu gagal menawan kerajaan negeri dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Semua kerusi parlimen yang terdapat pengundi peneroka Felda di Pahang, Pakatan Rakyat tidak menang satu pun, kata Ketua Penerangan PKR negeri Razali Alias.

“Kerusi parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, kedua-duanya dimenangi PKR tidak ada seorang pun pengundi di kalangan peneroka Felda.

“Bedah siasat awal menunjukkan pengundi Felda takut kepada Pakatan Rakyat, terutama terhadap orang Cina dan India dalam komponen itu,” kata beliau.

Satu lagi faktor kekalahan Pakatan Rakyat di kawasan pengundi Felda kerana Barisan Nasional dan Umno menggunakan pelbagai cara untuk menghalang mereka daripada mengundi calon Pakatan.

Yakin tawan 5 tahun lagi

Pada pilihan raya umum tahun ini, Pakatan Rakyat memenangi empat kerusi parlimen dan 12 kerusi negeri, meningkat 50% berbanding tahun 2008.

Razali, bagaimanapun, yakin dalam pilihan raya umum ke 14, lima tahun lagi, Pakatan Rakyat akan menawan Pahang.

Katanya, ukuran ini berdasarkan sokongan rakyat sekarang serta gerak kerja dalam pilihan raya umum akan datang.

“Pakatan memerlukan 22 kerusi negeri untuk menjadi kerajaan, dengan 12 sekarang bermakna 10  lagi yang perlu dicapai.

“Kita akui kita kalah di Pahang kali ini, tetapi kita berjanji akan bekerja kuat untuk menawan Pahang lima tahun lagi.

“Kita akui kita lemah, jentera kita (Biro Felda dan orang Asal) kurang bergerak di kawasan berkenaan. Kita mesti mengakui ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: