THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA
LUMPUR, — Pengguna media sosial, khususnya golongan muda, perlu
bijak menapis maklumat di media sosial terutama yang memberi fakta tidak
benar berkaitan kerajaan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Jailani Johari.Beliau berkata golongan muda yang mudah terpengaruh dan sering menjadikan Internet sebagai sumber pembacaan mereka perlu menyedari bahawa tidak semua maklumat di media sosial boleh dipercayai.
“Setiap pengguna perlu berhati-hati dan kena mengkaji serta menilai sama ada fakta yang dibaca termasuk yang ditulis oleh ikon mereka benar atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Nasional Argentina di sini semalam.
Majlis anjuran Kedutaan Argentina di Malaysia itu dihoskan dutanya, Maria Isabel Rendon.
Jailani juga berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat dan memburukkan kerajaan di Internet.
“SKMM juga banyak menjalankan kempen bagi memupuk kesedaran di kalangan pengguna Internet supaya tidak mudah terpengaruh atau tertipu dengan pembacaan di Internet kerana kita sedar pengaruh Internet sangat luas,” katanya.
Ditanya cadangan sebelum ini untuk mengkaji semula medium pengiklanan menerusi perkhidmatan telekomunikasi seperti perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), Jailani berkata perkara itu masih dalam kajian.
“Kami akan mengadakan perjumpaan dengan penyedia perkhidmatan komunikasi untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kerana sedar tidak semua suka menerima SMS berbentuk pengiklanan,” katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.