Halaman

Rabu, 3 Julai 2013

AES: Dua dilepas tanpa dibebas

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Dua pesalah trafik (OKS) yang mendapat saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Trafik hari ini.

Hakim Amal Razin Alias membuat keputusan tersebut setelah mendengar permohonan dari peguam, Zulhazmi Shariff yang mewakili OKS, Teng Kek Mooi dan Pho Kek Kuan.

Zulhazmi yang ditemui memberitahu dua perbicaraan AES yang ditetapkan hari ini telah dibatalkan setelah pihak pendakwaraya memohon penangguhan kerana ada siasatan lanjut dan juga menunggu keputusan seterusnya sama ada hendak meneruskan atau tidak.

"Hari ini terdapat dua kes membabitkan saman AES dan kedua-dua OKS hadir untuk perbicaraan, walaubagaimanapun pihak pendakwaraya yang diwakili oleh timbalan pendakwaraya memohon penangguhan.

"Pihak pendakwaraya turut memberitahu penangguhan ini adalah kerana ada siasatan lanjut dilakukan serta menanti keputusan sama ada ingin meneruskan atau menangguhkannya lagi.

"Atas alasan tersebut saya memohon kepada mahkamah untuk melepaskan OKS tanpa membebaskan dan hari ini mahkamah membenarkan, mereka tidak perlu membayar apa-apa kompaun," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, perkara yang sama turut berlaku pada 26 Jun lepas apabila mahkamah turut membebaskan seorang OKS setelah pihak pendakwaraya juga turut memohon penangguhan.

Katanya lagi, hakim turut menetapkan pada 10 Julai nanti bagi mendengar enam lagi kes AES dan beliau menjangkakan situasi yang sama turut berlaku sepertimana hari ini.

"Hakim menetapkan pada 10 Julai nanti bagi mendengar enam lagi ke AES dan saya merasakan situasi yang sama akan berlaku yang mana pihak pendakwaraya akan meminta penangguhan.

"Sehingga sekarang kita tidak mengetahui apa siasatan yang dilakukan oleh pihak pendakwaraya, kita menunggu laporan siasatan tersebut," sambung beliau.

Beliau yang juga merupakan Penasihat Undang-undang Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menegaskan isu pelaksanaan AES ini telah menimbulkan kekeliruan kepada pengguna jalanraya.

Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan yang dipangku oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang meminta pengguna jalanraya membayar saman AES itu adalah tidak tepat.

"Peguam Negara telah mengumumkan penangguhan prosiding saman AES dan apabila seseorang itu kena saman, mereka tidak perlu membayar.

"Kenapa menteri sibuk suruh OKS bayar saman tersebut, kita tunggu dulu penggumunan dari Peguam Negara untuk menarik balik penangguhan dan selepas itu baru OKS boleh memilih untuk membayar ataupun hadir ke mahkamah," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.