Seorang Ahli Parlimen mencadangkan bayaran deposit 10 peratus
untuk pembelian rumah dilupus bagi memberi peluang lebih ramai golongan
muda memiliki rumah sendiri.
Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor), berkata langkah itu
perlu dibuat berikutan ramai generasi muda hari ini termasuk golongan
berijazah gagal membeli rumah kerana harga yang semakin tinggi.
"Berdasarkan kajian terhadap 10 pekerja berijazah yang berkhidmat
selama lima hingga lapan tahun dan memperoleh pendapatan antara RM3,350
hingga RM5,000 sebulan, golongan ini juga sukar memiliki sebuah rumah.
"Apabila ditolak komitmen seperti pinjaman kenderaan dan kos sara
hidup dengan harga rumah yang ditawar khususnya di Lembah Klang,
golongan muda tidak mampu membeli kerana gaji mereka tidak mencukupi,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Irmohizam berkata, bagi rumah kos sederhana rendah, harga yang
ditawar sekitar RM200,000 dan bererti kos deposit 10 peratus ialah
RM20,000.
Beliau berkata, kos itu menjadi bebanan berat walaupun Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran akaun dua untuk
membiayai deposit itu.
"Ini tidak termasuk tiga lagi kos yang harus ditanggung meliputi kos
guaman dengan pemaju, kos guaman dengan bank dan kos insurans
MRTA,"katanya.
Beliau juga mencadangkan pekerja bergaji RM4,000 sebulan dan memiliki
RM20,000 dalam akaun dua KWSP selepas lima tahun bekerja, deposit 10
peratus sebagai bayaran muka pembelian rumah, dilupus.
"Dengan cara ini, wang akaun dua KWSP boleh diguna untuk menampung kos guaman," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan