| Oleh Subky Latif |
Unjuk rasa Gelap (Black) 505 Jun 22 lalu berjaya dijayakan atas separuh kerjasama polis dan para penunjuk rasa yang kecewa terhadap kerja SPR.
Penunjuk rasa tidak lagi peduli atas apa polis rasa dan kata tentang demo mempersoal kerajaan selama ini.
Polis beri permit atau tak beri permit tidak lagi penting bagi para pro demokrasi. Mereka dengar polis atas segala yang menasabah tetapi tidak lagi peduli dengan dalih polis sekadar melanggar undang-undang dan menimbulkan kekacauan dan kepayahan.
Gelap 505 Jun 22, 2013 memenuhi beberapa jalan besar dan utama pusat bandaraya Kuala Lumpur dari beberapa lokasi menuju Padang Merbok tanpa cabaran polis, bahkah kehadiran sepenuh hati atau terpaksa adalah bagi memudahkan kelancaran lalu lintas.
Tidak lagi polis sepert di bawah Rahim Nor, Norain Mai dan Musa Hasan yang amat sensitif dengan tunjuk perasaan. Tidak lagi seperti Musa Hasan dan peanggantinya TS Ismail Omar yang baru pencen menangani Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan demo anti pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh Tan Sri Hasan Ahmad dan A Samad Said.
Dalam semua demonstrasi, pejuang pro demokrasi ditunggu oleh trak PRU, lori meriam air dan lain-lain kelengkapan senjata polis seperti hendak menghadapi serangan penceroboh asing. Semua yang polis buat itu atas alasan menjaga keamanan dan keteneraman. Mati demokrasi, mati kebebasan menyuarakan kedaulatan rakyat tidak menjadi pertimbangan.
Kerana apa jua yang polis rasa tidak lagi dipeduli orang, maka beberapa rapat selepas 12 Januari 2013 di Stadium Merdeka tidak lagi polis membazirkan tenaga dan peruntukan untuk terlalu sensitif dengan apa yanag dinamakan tunjuk perasaan.
Alasan peniaga kerugian tidak dapat berjual oleh banjiran demonstran dan pelancong takut ke Malaysia, ekonomi tergencat hari itu tidak dapat dibuktikan. Demo aman Gelap 505 itu mewujudkan gerai haram orang berniaga makan, minuman dan lain-lain keperluan puluhan ribu penunjuk rasa.
Mereka mangaut untung yang banyak hari itu. Gerai makan dan minum di jalan-jalan sekitar yang dilalui orang buat duit. Konsesi tol boleh mengeluarkan penyata, banyak mana beza pungutan tol hari itu di seluruh laluan ke Kuala Lumpur di bandingkan dengan hari-hari lain. Banyak mana bertambah jualan runcit petrol dua tiga hari sebelum dan selepas Gelap 505 itu?
Semuanya durian runtuh buat mereka. Kalau boleh bagi peniaga segera ini, selalu demonstrasi adalah rezeki mudah untuk mereka. Jika polis bersara tiada pekerja tetap, boleh buka gerai dan mengaut untung kalau selalu ada demo besar begitu.
Apa rugi polis apabila tidak pukul memukul dan tiada huru hara dalam rapat Gelap 505 itu? Apa rugi negara bila polis tidak ganggu demo? Tidak rugi apa-apa, bahkan polis mulai dilihat ada maruah, ia boleh gunakan masa dan fikiran untuk menghadapi jenayah yang perdana menteri kata, transformasi baru negara ialah menghadapi jenayah adalah satu perjuangan.
Dengan sikap baru polis dalam beberapa demo sejak tahun 2013, tanpa menurunkan kelengkapan anti demo, terbukti reaksi sensitif polis berlebihan tidak diperlukan.
Dengan beberapa perkembangan itu moga-moga polis tidak lagi perlu sensitif dengan sebarang yang dinamakan demo. Selain dari demo itu, ada keperluannya untuk semak dan imbang perjalanan kerajaan dan pemimpin politik, ia juga perlu untuk menurunkan rasa geram umum terhadap penyeleweng pentadbiiran.
Orang kata kalau geram dibiarkan pecah di perut, ia menyebabkan orang boleh gila. Bila ia dapat dipecahkan di mulut, angin emosional turun dari badan.
Sudah bermula nampaknya polis tidak perlu lagi berperang dengan rakyat yang turun berdemo. Bermula kejayaan baru bagi polis dan demonstran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan