THE MALAYSIAN INSIDER
Kerajaan bersetuju menetapkan kos pengambilan pembantu rumah
asing Indonesia pada kadar RM8,000 setelah mengambil kira kos-kos yang
wujud melibatkan kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia
diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang
Asing Tanpa Izin yang bermesyuarat di sini hari ini.
Beliau berkata penetapan kos itu adalah antara perkara yang
terkandung dalam Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerja Domestik
Indonesia di antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia 2011, yang
tertangguh pelaksanaannya sebelum ini.
"Antara kos yang terlibat ialah latihan selama 200 jam, kos dokumen
perjalanan, kos makanan dan penginapan pembantu rumah sebelum diserahkan
kepada majikan, kos pengangkutan, kos pemeriksaan kesihatan serta
bayaran kepada agensi pekerjaan di kedua-dua negara," katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan
mesyuarakat kali ke-10 jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen.
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Indonesia dan
Malaysia sebelum ini, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing
Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majikan
dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.
"Mungkin sesetengah pihak berkata kos telah naik dari RM4,500 ke
RM8,000. Tetapi, sekiranya kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan itu,
sampai bila-bila pun kita tidak dapat melaksana pengambilan pembantu
rumah Indonesia.
"Indonesia sudah membandingkan dengan negara lain yang sanggup bayar
tinggi. Rakyat Malaysia mahukan pembantu rumah. Kalau begitu, kita kena
mengambil kira faktor di luar kawalan sebagai penanda aras walaupun kos
dianggap tinggi," kata Muhyiddin.
Timbalan Perdana Menteri berkata perubahan kos struktur itu akan
dibawa ke dalam perundingan di antara kedua-dua kerajaan bagi
mendapatkan persetujuan, agar dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.
Beliau berkata perinciannya akan disampaikan oleh Kementerian Sumber
Manusia setelah mendapat persetujuan bersama, dan pihak yang berurusan
dengan pengambilan pembantu rumah hendaklah mematuhinya.
Selain itu, Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan juga memutuskan
supaya pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012 tidak terpakai kepada
pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
"Gaji minimum kita tak ambil kira. Itu terserah kepada majikan untuk tentukan mengikut kadar pasaran," katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan juga memutuskan untuk
memansuhkan pengeluaran Journey Perform Visa (JP Visa) mulai 1 Okt 2013.
Sebelum ini JP Visa dikeluarkan kepada warganegara Indonesia yang
memasuki negara ini melalui Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong untuk
mendapatkan pekerjaan di Malaysia. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan