Warga asing yang dipanggil memberi keterangan di Inkuiri
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah
hari ini memberitahu panel mereka memperolehi kad pengenalan di dalam
hutan ketika bekerja di kem balak di Kinabantangan, dan juga di kedai
kopi di Kota Kinabalu.
Mameng Saleng, 63, berasal dari Sulawesi memberitahu panel RCI beliau
telah menerima kad pengenalan sewaktu bekerja dengan syarikat
pembalakan pada 1980an selepas majikannya ketika itu mempelawa kad
pengenalan tersebut kepada pekerjanya.
"Pada 1983 pengurus tanya saya mahu IC atau tidak, saya kata mahu
...," katanya kepada panel RCI yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan
Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong merujuk kepada kad pengenalan.
Mameng yang memasuki Sabah pada 1981 mengakui, segala urusan
dokumentasi kad pengenalan yang ditawarkan kepadanya dilakukan di kem
balak berkenaan, tanpa beliau perlu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN).
"Saya tangkap gambar, isi borang semua di kem ... tiada surat akuan
diperlukan," katanya ketika menjawab soalan pegawai penyiasat RCI.
"Masa itu ada dua lelaki (urus pemberian kad pengenalan) ... saya
tidak kenal," katanya, dan menambah, proses mendapatkan kad pengenalan
itu hanya mengambil masa sekitar dua bulan.
Bagi tujuan itu, beliau hanya perlu membayar sejumlah RM150, dan
tidak pernah terlepas peluang mengundi ketika pilihan raya umum.
Sementara itu, Ahmad Soso, 53, mengakui menerima kad pengenalan di
sebuah kedai kopi di Kota Kinabalu selepas bertemu seorang individu
berketurunan Bugis bersama tujuh rakannya.
Ahmad yang lahir di Sulawesi berkata beliau hanya perlu membayar RM10
duti stem bagi memperolehi kad pengenalan, tanpa perlu menghadirkan
diri ke JPN.
"Ada permohonan di buat, kami pergi jumpa satu orang Bugis di KK dia
kata boleh tolong buat kad pengenalan," katanya merujuk kepada ibu
negeri Sabah itu.
Proses berkenaan juga kata Ahmad hanya dilakukan di rumah lelaki tersebut, termasuk urusan mengisi borang dan juga cap jari.
"Dia tanya kami berapa orang, kemudian isi borang, dan cap jari
diambil di rumah," katanya, dan menambah lelaki berkenaan juga tidak
meminta sebarang surat sumpah atau sijil akuan.
"Cukup tiga bulan IC siap ... kami jumpa di kedai kopi untuk ambil,"
kata Ahmad lagi yang bekerja sebagai buruh di kebun bunga di Ranau.
Beliau yang mendaftar sebagai pengundi turut mengaku di hadapan
panel RCI bahawa beliau tidak pernah lepas daripada mengundi selepas
memperolehi kad pengenalan, kecuali pada 1990 kerana jauh dari lokasi
pengundian yang ketika itu dilakukan di Kudat.
Malah, ketika sesi RCI sebelum ini juga didedahkan pelarian perang
dari Filipina telah diberikan kad pengenalan dan menjadi warganegara.
Dianggarkan sekitar 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk Sabah
adalah warga asing, menjadikannya berjumlah sebanyak 889,000 orang.
Sesi RCI pada Mei telah diberitahu Sabah mengeluarkan kad pengenalan
12 kali lebih tinggi berbanding Sarawak dengan 66,000 pendatang asing di
Sabah telah menerima kad pengenalan biru sejak 1963.
RCI akan bersambung 9.30 pagi esok. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan