Halaman

Isnin, 26 Ogos 2013

4 bulan berlalu, tapi belum ada pendakwaan

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR: Pihak polis perlu membuat penjelasan segera berhubung perkembangan siasatan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim yang sehingga kini seperti tidak ada sebarang perkembangan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, pembunuhan melibatkan pegawai tingga Kastam itu sepatutnya ia menjadi keutamaan kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

"Pembunuhan pegawai tertinggi kerajaan itu merupakan satu kes berprofil tinggi, namun amat mengecewakan sehingga sekarang kita tidak mengetahui apa perkembangannya walaupun sudah empat bulan berlalu.

"Saya minta pihak polis memberi penjelasan yang sewajarnya berhubung kes tersebut dan kita tidak mahu kes tersebut ditutup begitu sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian susulan anak kepada Allahyarham, Mohd Akhtar Saharuddin yang terpaksa meluahkan kekecewaan kepada pihak media kerana layanan dingin yang diberikan oleh pihak polis terhadap kes bapanya.

"Sudah wajar anaknya pergi meluahkan kekecewaan dan tidak puashati kepada media kerana kes tersebut sehingga sekerang tidak ada sesiapa pun yang ditangkap apatah lagi didakwa," kata Khalid.

Menurut beliau lagi, pihak keselamatan perlu mempamer kecekapan menangani kes berprofil tinggi seperti itu supaya penjenayah sebenar dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Pihak polis perlu tegas dalam kes tersebut dan jika apa yang didedahkan oleh anaknya melibatkan orang dari jabatan itu sendiri ia perlu disiasat segera.

"Kita tidak mahu penjenayah ini terus berkuasa kerana ia dilindungi oleh mereka yang mempunyai kuasa, sehinggakan apa yang dilakukan oleh penjenayah akan dibiarkan begitu saja," kata beliau.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di Putrajaya pada 26 April lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.