HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Ogos 2013

AES: Hentikan saman jika ikhlas mahu kaji semula

Muhammad Faizal,
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tidak meletakkan harapan tinggi terhadap cadangan kerajaan yang ingin mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut bahawa perlaksanaan AES akan dinilai semula dan berharap ia akan memberikan keadilan kepada semua pihak.

Mengulas cadangan itu, Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff  berkata cadangan menteri itu hanya bersifat hipokrit, kerana dalam masa sama kerajaan terus menggesa agar pesalah AES membayar kompaun.

"Kita tidak tahu di mana keikhlasan kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan AES, menteri kata nak kaji tetapi dalam masa yang sama kerajaan menggesa agar pemandu yang menerima saman menbayar kompaun.

"Kalau nak kaji, batalkan semua saman yang telah dikeluarkan sehingga satu keputusan baru diperolehi, saya tidak nampak ia satu harapan positif atas kenyataan tersebut melainkan untuk politik semata-mata," jelasnya.

Beliau berkata, ia ditambah lagi dengan jawapan kerajaan pada sidang Dewan Rakyat pada 17 Julai lalui memutuskan akan tetap meneruskan pemasangan baki 1,079 kamera AES dan berharap ia akan dapat dilaksanakan bermula bulan September nanti.

Katanya lagi, jika kerajaan benar-benar ingin menilai semula serta memberi keadilan sewajarnya, kerajaan perlu mendedahkan butiran perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat penyelia perkhidmatan.

Dalam pada itu, Zulhazmi juga turut meminta agar kerajaan memulangkan kembali kesemua kompaun yang telah dibayar oleh penerima saman dan menghentikan operasi AES serta merta sehingga keputusan muktamad diperolehi.

Tiada ulasan: