HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Ogos 2013

Gaji: Kakitangan Insaniah serah memo kepada Mukhriz

Bashir Ishak

ALOR SETAR: Bagi menyelesaikan kemelut membabitkan kakitangan Insaniah Holdings Sdn Bhd (Insaniah Holdings), sebuah anak syarikat Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Badan Bertindak Staf Insaniah Holding menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Memorandum tersebut diserahkan di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman di sini selepas selesai sesi pagi Sidang Dewan Udangan Negeri  hari ini.

Selepas menunggu kebenaran untuk bertemu Mukhriz, akhirnya 10 orang wakil badan terbabit dapat berbuat demikian dalam pertemuan ringkas selama kira-kira 15 minit.

Menurut setiausaha badan tersebut, Mudzafar Aliyasak, memorandum yang diserahkan itu meminta pertimbangan Mukhriz untuk melihat isu pembayaran gaji kakitangan Insaniah Holdings yang tertunggak sejak Mei lalu.

Selain itu, mereka juga merayu supaya Mukhriz melihat isu membabitkan para pensyarah yang dilantik di bawah Insaniah Holdings di mana pihak Kuin tidak menyatakan secara rasmi status mereka yang tidak diberikan jadual waktu serta diarahkan mengosongkan pejabat.

"Begitu juga, pihak Kuin juga sehingga kini masih belum memberikan jaminan dan kata putus ke atas kesinambungan kewujudan Insaniah Holdings yang menyebabkan terganggunya operasi syarikat sehingga gagal menguruskan perjalanan kuliah-kuliah yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mudzafar berkata Mukhriz telah menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.

"Beliau meminta pihak kami bersabar sehingga pelantikan Rektor baru Kuin pada awal September nanti. Beliau juga berjanji melihat isu ini dari sudut perundangan.

"Walaupun kami lihat Mukhriz masih bercelaru dalam isu ini, namun kami berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera terutamanya pembayaran gaji dan status kami sebagai staf," katanya lagi.

Insaniah Holdings ditubuhkan pada tahun 2009 dan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk penyenggaraan bangunan dan pembangunan infrastruktur; menguruskan kuliah-kuliah akademik di bawah anak syarikat, menguruskan pendidikan menengah dan lain-lain lagi.

Sehingga kini Insaniah Holdings mempunyai lebih 200 orang kakitangan.

Tiada ulasan: