Halaman

Ahad, 25 Ogos 2013

Hargai nyawa, jangan kejar masa




 


SHARIFAH SYAFINAZ SYED IBRAHIM,

SETIAP kali tibanya musim perayaan atau cuti sekolah, perkara utama yang sering menimbulkan kebimbangan pemimpin negara adalah angka kemalangan yang direkodkan sama ada mengorbankan nyawa atau kerosakan harta benda.

Sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya sebenarnya menjadi faktor utama berlakunya masalah ini walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan.

Hal ini merupakan perkara yang menyedihkan apabila rakyat Malaysia yang terkenal dengan kekayaan budi bahasa dan kesopanan hilang budi bahasa apabila berada di jalan raya.

Kemungkinan juga faktor lain yang menjadi punca keselamatan di jalan raya terjejas adalah infrastruktur jalan raya yang kurang baik di sesetengah tempat seperti jalan berlopak dan keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik. Namun perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya pengguna jalan raya memandu secara berhemah dan berhati-hati.

Kehilangan dan kerugian yang dialami akibat pengabaian keselamatan jalan raya bukanlah sedikit dan perkara ini dikukuhkan lagi dengan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pengangkutan.

Di antara usaha yang telah diambil oleh kerajaan adalah memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya sebagai subjek tambahan di sekolah rendah dan menengah serta menjalankan pelbagai operasi khas khususnya pada musim perayaan seperti Ops Selamat, Ops Pacak, Ops Sikap dan Ops Statik.

Kita dapat menyimpulkan bahawa segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada rakyat.

Oleh itu, seluruh pengguna jalan raya selaku rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara mestilah mematuhi peraturan jalan raya serta memberikan sokongan padu kepada semua usaha kerajaan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya.

Hal ini amat penting bagi memastikan keselamatan jalan raya di Malaysia sama taraf dengan negara maju yang lain apabila tercapainya Wawasan 2020 kelak.

Semoga pengguna jalan raya lebih berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mengingati orang yang tersayang.

SHARIFAH SYAFINAZ SYED IBRAHIM,Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn, Pulau Pinang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.