Halaman

Sabtu, 3 Ogos 2013

Kes Sanjeevan: Wajib laksanakan IPCMC sekarang- Nurul Izzah

Oleh: Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) menjadi keperluan sangat mendesak bagi menyiasat salahlaku anggota seperti didedah Pengerusi Mywatch, R. Sri Sanjeevan.

Naib Pengerusi KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata kerajaan tidak boleh memberi alasan lain lagi kerana hanya melalui IPCMC, polis boleh dipersoal dan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.

“Tidak ada alasan, kita wajib laksanakan IPCMC sekarang, perlu ada ruang untuk mempersoal dan mempertangunggjawabkan pihak polis,” katanya kepada Suara Keadilan.

Sanjeevan, parah di bahagian rusuk kanan selepas ditembak dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang, 27 Julai lalu.

Beliau sebelum itu dilaporkan ingin mendedahkan salahlaku sebahagian anggota polis yang terlibat dalam sindiket dadah dan jenayah.

Izzah dalam pada itu turut mengulas mengenai peningkatan kes tembakan yang semakin kerap berlaku sejak dua minggu lalu.

Terbaru, seorang peniaga emas, Woong Foo Yui,34 cedera terkena tembakan ketika kenderaan beliau berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, semalam.

Kes tembak itu adalah keempat dalam tempoh lima hari minggu ini. Isnin lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon.

Rabu lepas pula, pemandu van kilang N. Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di atas kiri perut dan bahagian kanan bawah pinggang di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar, Perak.
Pada 29 Julai juga seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.

“Kita lihat kes jenayah semakin serius sekarang, sebab itu kita perlu objektif dalam tindakan susulan yang diambil, ambil tindakan atau wujudkan undang-undang baru yang terbaik berdasarkan statistik dan keperluan yang mendesak,” kata Izzah mengulas perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.