KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat khas kepada perdana menteri untuk menguruskan hal ehwal wanita adalah tidak wajar dan membazirkan wang rakyat, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.“Jawatan ini tidak relevan. Tidak perlu cipta satu lagi jawatan untuk puaskan selera pimpinan Umno. Ini satu political appointment yang ada kepentingan kepada Najib dan Shahrizat.
“Ketika Shahrizat menjawat menteri wanita pun tidak banyak dapat dilakukan untuk wanita. Ia jelas merupakan suatu pembaziran wang rakyat,” tegasnya ketika dihubungi.
Menurutnya lagi, tindakan Datuk Seri Najib Razak melantik Shahrizat yang terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) juga bukti agenda tranformasi dilaungkan perdana menteri itu gagal.
Katanya, ini adalah kali kedua Shahrizat dilantik sebagai penasihat khas kepada perdana menteri, selepas ketua wanita Umno itu tewas pada Pilihan Raya Umum 2008.
“Jawatan ini bertindih dengan tugas menteri pembangunan wanita dan masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim. Seolah-olah Najib tidak percaya Rohani mampu melaksanakan tugas untuk wanita,” tambah beliau.
Justeru itu, menurut Zuraida, perdana menteri perlu memberi penjelasan berhubung pelantikan tersebut, termasuk imbuhan seperti bayaran gaji dan elaun yang diterima Shahrizat.
“Najib perlu bersikap terbuka dan telus dengan mendedahkan sama ada gaji yang diterima Shahrizat setanding dengan menteri. Ia harus didedahkan agar rakyat boleh menilai,” katanya.
Dalam pada itu katanya, beliau melihat pelantikan Shahrizat bagi menyediakan platform untuk ketua wanita Umno itu kembali mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti itu akan datang.
“Ia seolah-olah memberi platform kepada Shahrizat dan dengan itu dia akan membalas balik untuk mendapatkan sokongan wanita kepada Najib untuk kekal sebagai presiden Umno.
“Ia memberi mesej yang jelas kepada (pencabar Shahrizat), Azalina Othman bahawa pemimpin Umno mahu mengekalkan Shahrizat (sebagai ketua wanita Umno),” ujarnya.
Menurut Zuraida, sudah tiba masanya Umno menyingkirkan pemimpin lapuk yang memiliki imej buruk dengan memberi laluan kepada muka baru dan bukan mengekalkan pemimpin ‘kitar semula’ seperti Shahrizat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.