HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Ogos 2013

Mestikah pimpinan baru Kelantan mencari idea baru?



Oleh DINSMAN

Polemik atau kekecohan yang ditimbulkan oleh Dr Mohd Agus Yusoff mengenai tiada “keghairahan baru” dalam kepimpinan baru kerajaan Kelantan baru-baru ini – apa yang menariknya? Bagi saya yang menariknya ialah persoalan yang ditimbulkan oleh Dr Agus itu sendiri. Apa persoalan yang saya maksudkan? Persoalannya ialah – bahawa pimpinan baru mestilah ada idea baru

Itu satu perkara. Satu perkara lagi yang ditimbulkannya ialah: beberapa projek yang telah diumumkan atau dilancarkan oleh pimpinan dulu, seperti Lebuhraya Rakyat dan Stadium baru, tidak nampak pun kemajuannya. Yakni: Dr Agus tidak nampak kemajuannya.

(Saya teringat kepada puak-puak yang menentang Morsi di Mesir, dengan memberi alasan tidak nampak kemajuan dilakukan Morsi untuk memulihkan ekonomi Mesir setelah setahun memimpin kerajaan. Maka itu mewajarkan kudeta. Bezanya Dr Agus mempersoalkan pimpinan Ustaz/Datuk Ahmad Yaakob di Kelantan itu setelah 100 hari memimpin.)

Jadi hal itu kuranglah menarik bagi saya. Dalam tempoh 100 hari itu kenapakah mesti dilihat pada perkara-perkara seperti itu? Dr Agus mengiranya penting maka dia hendak melihatnya – itu hak dialah. Tapi saya menganggapnya tidaklah penting. Begitu juga dengan hal kambing Jamnapari itu. Tapi tak mengapalah. Biarkanlah!

Balik kepada persoalan yang menarik di atas tadi. Bahawa kepimpinan baru mestilah ada idea baru. Seperti Najib apabila jadi Perdana Menteri dia kemukakan idea 1Malaysia; Abdullah Ahmad Badawi apabila jadi Perdana Menteri dia kemukakan idea Islam Hadhari; (dengan segala pembaziran dan penyelewengan wang, tenaga dan masa bersama dengannya). Ustaz Ahmad Yaakob apabila jadi Menteri Besar menggantikan Nik Abdul Aziz, apa idea barunya?

Persoalan saya – kenapa mesti ada idea baru seperti itu? Atau kenapa mesti ada keghairahan baru seperti yang dikatakan oleh Dr Agus itu? Tak bolehkah kalau Ustaz Ahmad Yaakob mengatakan dia akan meneruskan pelaksanaan dasar dan perjuangan “Membangun Bersama Islam” berprinsipkan ‘Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan (UMI) seperti yang telah diasaskan oleh pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz?

Kenapa? Kalau dia berkata begitu, apakah itu menunjukkan dia kekeringan idea untuk memerintah negeri dan kepemimpinannya lemah? Bagi saya seorang Menteri Besar di tempat yang diduduki oleh Ustaz Ahmad Yaakob itu tidak memerlukan dia mempunyai idea baru, kerana apa yang telah diasaskan oleh Tok Guru Nik Aziz itu sudah mencukupi untuk dilanjutkan pelaksanaannya, (dengan melaksanakannya dengan lebih baik lagi).

Dan Ustaz Ahmad Yaakob pada ketika menjadi Timbalan Menteri Besar dia adalah seorang yang bekerja ikhlas untuk membantu Menteri Besar melaksanakan pentadbiran kerajaan negeri supaya tercapai apa-apa yang dihasratkan oleh Menteri Besar, yakni Tok Guru Nik Aziz, (kerana kepercayaan dan keyakinannya kepada kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz).. Dia tidak ada cita-cita lebih tinggi daripada itu, yakni untuk mengambilalih tempat sebagai Menteri Besar. Dia tidak bercita-cita ke situ.

(Saya mendengar sendiri pengakuannya itu, kira-kira dua tahun lalu, dan saya percaya.)
Maka tatkala Tok Guru Nik Aziz membuat keputusan untuk mengundur diri, dan apabila nama Ustaz Ahmad Yaakob dicadangkannya untuk menggantikan tempatnya sebagai Menteri Besar dan dipersetujui oleh para pimpinan lain dalam satu mesyuarat khas mengenainya, itu adalah suatu amanah yang diterimanya dengan prinsip ‘UMI’ tadi, tidak seperti kebiasaan yang terjadi di kalangan tokoh-tokoh politik di tempat lain, yang mengambilalih teraju pimpinan.

Barangkali kejutannya menerima amanah besar itupun baru saja reda. Tempoh 100 hari mungkin tempoh penyesuaian bagi peribadinya. Namun itu samasekali tidak menjejaskan kepemimpinan dan pentadbirannya, kerana sebelum ini pun selama 10 tahun dia memang melakukan kerja-kerja pentadbiran tersebut, bersama dengan Tok Guru Nik Aziz. Hanya sekarang dia tanpa Tok Guru Nik Aziz, dia perlu meneruskan kerja-kerja yang sama. Tetapi sekarang dia mempunyai timbalannya sendiri, dan beberapa orang pembantu.

Terbiasa dengan pemikiran moden kebaratan yang biasa itu, dan dipengaruhi pula oleh gaya kewartawanan (yang juga kebaratan), Dr Agus jadi ghairah melihat dan mempersoalkan hal-hal yang dipersoalkannya itu.

Padahal kepemimpinan politik PAS Kelantan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan telah membentuk satu sistem dan struktur baru yang banyak berbeza dibandingkan dengan yang biasa terdapat di tempat-tempat lain, iaitu hasil daripada kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz selama 23 tahun itu.

Ustaz Ahmad Yaakob tidak sama dengan pemimpin lain yang mengambilalih pimpinan dengan persediaan dan persiapan untuk itu (maka ada “keghairahan baru”). Dia tidak merancang untuk pengambilalihan itu.

Dia tidak merancang untuk jadi pemimpin nombor satu di Kelantan. Maka tiadalah program atau projek tertentu atau perancangan atau pemikiran untuk melakukan pembaharuan dalam kepimpinan dan pentadbiran barunya itu. Memang dia tidak merancang untuk pengambilalihan pimpinan itu.

Kenapa perlu ada pembaharuan atau pemikiran baru dalam kepimpinan? Biasanya adalah untuk menonjolkan kemampuan diri, bagi meyakinkan orang ramai terhadap kewibawaannya, dan supaya orang segera melupakan kepemimpinan yang sebelumnya. Di sini (Kelantan hasil kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz) berbeza. Pemimpin baru tidak perlu menonjolkan dirinya dan tidak perlu mempengaruhi orang ramai (rakyat) supaya melupakan pemimpin sebelumnya.

Maka tidak hairanlah perkara utama dan pertama difikirkan dan diumumkan Ahmad Yaakob apabila dilantik menjadi Menteri Besar ialah penubuhan Institut Pemikiran Nik Aziz (yang amat saya setuju dan sokong).
Memang dia sangat menghargai pemikiran Tok Guru Nik Aziz, dan dia tidak berasa perlu merahsiakannya.

Dr Agus sepatutnya memahami latar belakang politik dan kepimpinan Kelantan yang berbeza ini (hasil daripada kepimpinan Nik Aziz selama 23 tahun itu). Maka tidaklah dia terburu-buru mempersoalkan perkara-perkara yang dipersoalkannya itu. Terdapat banyak perbezaan dalam nilai dan sistem politik/kepimpinan di Kelantan sejak kepemimpinan Nik Aziz, dibandingkan dengan nilai dan sistem politik/kepimpinan dalam Umno-BN, misalnya, atau lain-lain politik/kepimpinan di dunia.

Tiada ulasan: