Kampung ini sudah menjadi seperti pusat pelupusan sampah. Bezanya di sini ada penghuni mendiaminya
ENAWANG – Penduduk Kampung Sungai Gadut di sini berang dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab yang melonggok sampah di tanah lapang milik persendirian berhampiran dengan kediaman mereka.
Penduduk kampung tersebut mendakwa sampah itu dilonggok sejak dua tahun lepas.
Woon Nyet Yeh, 53, berkata, longgokan sampah tersebut menimbulkan bau busuk serta mengundang banyak lalat dan nyamuk ke kawasan itu.
“Kampung ini sudah menjadi seperti pusat pelupusan sampah. Cuma beza dengan tapak pelupusan sampah sebenar, bezanya di sini ada penghuni mendiaminya. Keadaan sebegini boleh menjerumuskan penduduk kepada pelbagai penyakit seperti demam denggi, malaria dan keracunan makanan,” katanya.
Menurut Nyet Yeh, dia agak kesal dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang seolah-olah bersikap acuh tak acuh dengan masalah dialami, walaupun sudah banyak aduan dikemukakan.
“Tidak dinafikan, mereka (PBT) memang pernah membuat lawatan ke sini, di mana kali terakhir pada tahun lalu. Namun, sehingga kini masih tiada tindakan diambil,” katanya.
Ng Kim Moy, 53, berkata, kewujudan sampah terbabit bukan sahaja mencemarkan sungai berdekatan, malah menyebabkan banyak pokok mati.
“Bila hujan lebat keadaan semakin teruk. Air sungai yang penuh dengan sampah akan melimpah ke halaman rumah dan mengotorkan persekitaran.
“Selain itu, masalah hakisan tebing sungai turut berlaku akibat laluan air yang semakin sempit kerana tersumbat dengan sampah. Sehingga kini, kita sudah membelanjakan sekitar RM7,000 untuk menambak sendiri tebing sungai sebanyak tiga kali,” jelas Ng.
M Nanthakumar, 33, pula menjelaskan, selain mengalami situasi sama seperti penghuni lain, dia turut berdepan masalah pembuangan sisa kaca berbahaya.
“Sisa kaca berkenaan menghasilkan bau yang agak menyengat membuatkan sesiapa terhidu akan pening kepala dan hendak muntah.
“Tidak cukup dengan itu, serbuk kaca berterbangan yang masuk ke dalam rumah turut mengakibatkan kegatalan pada kulit,” katanya.
R Thanaletchumy, 44, berkata, penyakit asma dihidapi semakin krikital gara-gara terhidu asap kotor yang terhasil daripada aktiviti pembakaran sampah setiap malam.
“Mahu bernafas pun susah. Ahli keluarga yang lain turut mengalami masalah batuk berpanjangan walaupun sudah banyak kali berubat.
“Apa yang kita bimbang, seandainya rumah penduduk pula yang terbakar selepas ini memandangkan jarak lokasi pembakaran dengan kediaman terlalu dekat,” katanya.
Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong yang membuat lawatan ke kampung tersebut berkata, kejadian sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana lazimnya taman industri mempunyai tempat pelupusan sampah sendiri.
“Justeru, saya menyeru pihak berwajib berkaitan supaya memberi perhatian serius pada perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita harap, pihak yang bertanggungjawab membuang sampah di kawasan ini juga dapat bertimbang rasa kepada penduduk kampung,” kata Teo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan