SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR – Perarakan Hari Kemerdekaan ke-56 pada 31 Ogos ini menjanjikan kelainan sejajar dengan tema sambutan 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf hari ini.
  
“Apa yang menjadikan ia berbeza ialah kita akan banyak memaparkan kelengkapan ketenteraan untuk ditunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa kita bersedia mempertahankan negara dalam apa sahaja keadaan.
   Perarakan merdeka terap unsur ketenteraan

“Kalau dulu, kita banyak tekankan kepada unsur-unsur kebudayaan dan persefahaman, tahun ini kita tekankan semangat patriotisme...bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan kita bersedia mempertahankan negara hingga ke titisan darah terakhir,” katanya.
  
Kamaruddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 dan Sambutan Hari Malaysia ke-50, menyatakan demikian dalam rancangan Malaysia Hari Ini, TV3 pagi ini.  

Beliau berkata acara sambutan Hari Kemerdekaan itu juga akan mempunyai komponen perbarisan anggota keselamatan negara mengandungi lebih 16,000 peserta selain bacaan Rukun Negara oleh 56 anak muda mewakili ‘Generasi Y’serta formasi padang di Dataran Merdeka.
    
Pada malam sebelumnya, acara Ambang Merdeka akan diadakan di Pusat Maritim Putrajaya bersempena dengan pertandingan bunga api antarabangsa Putrajaya.
  
“Pada malam itu, kita akan lihat bunga api dan persembahan konsert penghibur tanah air yang ternama di mana Perdana Menteri akan hadir untuk sama-sama membuat kiraan detik hari Merdeka,” katanya.
  
Acara lain yang diatur termasuk kempen Kibarkan Jalur Gemilang yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Sungai Petani pada 16 Ogos lepas dan Konsert “Unity dan Harmony” antara Malaysia dan Indonesia di Dataran Merdeka dua malam lepas.
  
Katanya banyak lagi program peringkat negeri diatur untuk meningkatkan semangat kecintaan kepada negara seperti pertandingan Pidato Kemerdekaan, menghias bangunan kediaman dan perniagaan serta pertandingan klip video bagaimana rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan.
  
“Sambutan ini semua untuk mengingatkan kepada rakyat bahawa kemerdekaan ini tidak datang bergolek, pipis tidak datang melayang, ia datang melalui perjuangan yang harus kita jaga dan dipukuk untuk memastikan kita terus merdeka sampai bila-bila,” katanya.
   
Bagi sambutan Hari Malaysia, Kamaruddin berkata sambutan kali ini adalah istimewa kerana ia Jubli Emas yang akan disambut di Kuching pada sebelah pagi dan Kota Kinabalu pada sebelah malam, hari yang sama 16 Sept ini.
  
”Tak pernah kita buat serentak...biasanya kita selang-seli sambutan tahunan antara Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.
  
Acara sambutan di Kuching akan dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah manakala di Kota Kinabalu oleh perdana menteri.
  
“Di Kuching akan ada regatta Sungai Sarawak pada malam 15 Sept yang akan mempunyai perarakan kapal berhias,” katanya. - Bernama