Putrajaya tidak akan mendedahkan butiran Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) atas alasan 'kerahsiaan' walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) hari ini mengadakan hari terbuka di ibu pejabatnya.
Langkah diambil MITI hari ini bertujuan meredakan ketegangan dan krtikan terhadap rancangan kerajaan meneruskan TPPA, bagaimanapun usahawan dan ahli perniagaan kecewa gagal menyelesaikan kebimbangan serta persoalan yang dihadapi mereka.
Perunding TPPA, Isham Ishak yang bertanggungjawab dalam perjanjian berkata, Malaysia perlu menghormati negara lain yang turut berada dalam perjanjian itu.
"Malaysia menghormati prinsip perjanjian kerahsiaan yang melarang pendedahan teks rundingan kerana mengandungi pendirian rakan-rakan dalam rundingan ini dan ia berbeza dengan teks WTO," kata Isham dalam pembentangannya kepada hampir 1,000 hadirin.
Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menyatakan pendirian sama, selagi tidak mencapai keputusan muktamad, ia tidak akan didedahkan.
"Belum berakhir lagi, tidak boleh dedahkan," kata Mustapa apabila ditanya The Malaysian Insider sama ada kerajaan berhasrat mendedahkan butiran perjanjian itu.
TPPA adalah inisiatif untuk membentuk satu kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei Darulssalam pada Oktober 2010 lalu, serta terbaru adalah di semasa pusingan ke-18 baru-baru ini di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, peserta yang kebanyakannya usahawan dan ahli perniagaan yang ditemui semasa bengkel perbincangan mengikut sektor menyifatkan sesi hari ini sia-sia kerana mereka masih dalam keadaan tertanya-tanya.
"Kami datang hari ini dengan harapan dapat mendengar penjelasan mengenai klausa-klausa TPPA, tapi jawapan yang kami dapat adalah sebaliknya.
"Mereka tidak mendedahkan, seolah-olah berahsia," kata Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion selepas berakhir bengkel mengenai hak Bumiputera dan syarikat berkenaan kerajaan.
Pengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang juga hadir mempersoalkan jika TPPA ini berkuatkuasa apakah jaminan kerajaan industri perfileman negara terbela memandangkan jurang yang sangat besar antara Amerika Syarikat dan Malaysia.
“Amerika Syarikat adalah pemain dunia besar, jika dibandingkan dengan Malaysia kita jauh terkebelakang.
“Adakah apabila TPPA ini berkuatkuasa, layanan sama akan diberikan kepada industri filem tempatan atau kita terpaksa bersaing dengan mereka," kata Shuhaimi apabila ditemui The Malaysian Insider.
Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR), hingga menyaksikan Putrajaya terpaksa membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) melibatkan keanggotan dwi partisan bagi membolehkan pembangkang mendapat penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.
PR turut membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian tersebut tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.
Mustapa sebelum ini ketika sidang Dewan Rakyat berkata Malaysia boleh menarik diri daripada menyertai TPPA pada bila-bila masa sekiranya kerajaan tidak bersetuju dengan hasil rundingan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan