Halaman

Jumaat, 23 Ogos 2013

Waytha Moorthy jawab Zahid: Tembak bukan penyelesaian masalah jenayah

OLEH MD IZWAN
















Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy tidak tunduk dengan amaran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar), menegaskan tindakan menembak bukan jalan penyelesaian kepada masalah jenayah membabitkan masyarakat India.

Semalam, Menteri Dalam Negeri itu menggesa Waytha Moorthy supaya tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

"Menteri Dalam Negeri mungkin salah faham niat saya, saya tidak berhasrat campur tangan kerja polis.

 "Isunya ialah memahami permasalahan utama masyarakat India dan membunuh mereka secara melulu tidak menyelesaikan peningkatan jenayah dalam negara," kata Waytha Moorthy dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, persepsi orang awam yang buruk adalah berpunca daripada tindakan polis sendiri.

"Persepsi awam terhadap pasukan polis terhakis kerana tindakan yang mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, Waytha Moorthy juga akan berbincang dengan Ahmad Zahid bagi menyelesaikan isu membabitkan jenayah masyarakat India.

"Saya akan mengadakan satu mesyuarat tergempar dengan Menteri Dalam Negeri untuk bekerjasama dengan saya dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melihat masalah pembabitan jenayah belia India secara lebih holistik," katanya.

Bekas pemimpin kumpulan NGO India Hindraf yang pernah diharamkan itu juga menegaskan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membangkitkan isu membabitkan kaum India demi memastikan kerajaan dapat memainkan peranan lebih aktif.

Waytha Moorthy dilaporkan akhbar sebagai berkata beliau tidak percaya berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.

Dalam insiden itu, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negri Sembilan.

Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku dalam insiden itu adalah tugas polis biarlah polis buat kerja kerana mereka lebih arif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.