Halaman

Rabu, 25 September 2013

Muhyiddin pertahan kerajaan guna RM20 juta persediaan PPPM

OLEH DIYANA IBRAHIM



















Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini mempertahankan tindakan kerajaan menggunakan RM20 juta untuk dibayar kepada firma pakar runding antarabangsa bagi penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012-2015.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, perbelanjaan RM 20 juta itu adalah kadar berpatutan kerana ia mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan PPPM.

"Hal itu saya akan jelaskan kemudian namun saya percaya ia adalah terbaik kerana langkah yang diambil bukan secara persendirian tetapi ia lebih daripada itu," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Undang-Undang Persaingan Negara di Konvesyen Kuala Lumpur.

Semalam, DAP mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat firma pakar runding dalam penyediaan PPPM.

Firma pakar runding McKinsey & Co dikatakan menerima bayaran sebanyak RM20 juta bagi khidmat mereka.

Muhyiddin enggan mengulas lanjut mengenai hal itu tetapi berkata kerajaan akan mengumumkan butiran perbelanjaan itu kelak.

"Perlu ingat penyediaan kita meliputi skop yang luas kita membawa beberapa pakar membantu, mengadakan konsultansi serta melantik beberapa panel antarabangsa dan turun ke setiap negeri.

"Ia usaha yang bukan mudah dan murah jadi kita fikir RM20 juta itu masih berpatutan dan perincian bayaran pelan itu kita akan berikan kemudian" katanya lagi.

Angota Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendakwa syarikat McKinsey & Co yang dilantik kerajaan tidak layak untuk tugas penyediaan PPPM kerana mereka bukanlah pakar pendidikan, sebaliknya sebuah syarikat konsultansi pengurusan am.

Katanya Pejabat Perdana Menteri sepatutnya gunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam kementerian dan Pemandu untuk menyediakan pelan berkenaan.

“Kementerian Pendidikan dan jabatan kerajaan lain mempunyai lebih tenaga kerja yang berkebolehan yang mampu mengendali tugas menyediakan pelan pendidikan.

“Kementerian Pendidikan serta jabatan kerajaan lain mempunyai lebih banyak kakitangan yang berkebolehan mengendali tugasan bagi penyediaan pelan pendidikan,” katanya.

Pelan PPPM menyenaraikan 20 individu yang berkebolehan tinggi yang menjadi sebahagian dari projek tindakan dan projek pengurusan pejabat termasuk Pengarah Bahagian Perancangan Dasar Pendidikan dan Kajian, Dr Faridah Abu Hassan, serta Pengarah NKRA dan NKEA, Tengku Azian Tengku Shahriman.

Dalam sebuah jawapan diberikan kepada Ong pada Isnin, ia memaklumkan bahawa McKinsey and Co dibayar RM20,566,400 bagi penyediaan pelan pendidikan negara.

Bayaran tersebut dibahagikan kepada dua fasa iaitu pada fasa pertama membabitkan sejumlah RM4,706,400 dan fasa kedua pula sebanyak RM15,860,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.