KUALA LUMPUR: DAP mempertikai tindakan
kerajaan memberi RM20 juta dana awam kepada firma pakar runding
pengurusan, Mckinsey and Co untuk menyediakan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli
Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam kenyataan bersama
mereka semalam menegaskan wang itu sepatutnya digunakan untuk kegiatan
pembelajaran atau menambahbaik dan menyediakan fasiliti tambahan kepada
sekolah.
Menurut mereka, penggunaan dana awam itu jelas satu
pembaziran apabila Kementerian Pendidikan dan jabatan kerajaan lain
mempunyai ramai kakitangan berkemahiran lebih baik dalam penyediaan
PPPM.
Dalam jawapan bertulis pertanyaan pada persidang Parlimen,
Kementerian Pendidikan menyatakan sejumlah RM20.57 juta dibayar kepada
perunding melalui dua peringkat. RM4.7 juta pada fasa pertama dan
RM15.86 juta fasa kedua.
“McKinsey hanya firma pakar runding dalam pengurusan am dan
sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan. Ada kemungkinan bahawa
satu atau dua rakan kongsi utama McKinsey dulu terbabit dalam
perundingan untuk projek pendidikan tetapi pengalaman mereka tentu jauh
ketinggalan berbanding panel pakar yang menyertai pasukan petugas projek
serta panel penilai bebas.
“Malah, dokumen muktamad yang dikeluarkan juga kurang
menonjolkan tahap kepakaran luar biasa firma itu jika pemilihannya
dibuat berdasarkan pengetahuan mereka terhadap sistem pendidikan di
negara lain.
“Perbandingan antara sistem pendidikan di Malaysia dan
negara luar dalam dokumen PPPM sebenarnya boleh dibuat oleh seorang
pelajar Malaysia yang cerdik dan sedang menyelidik isu penarafan
pendidikan tahap antarabangsa untuk projek tahun akhirnya,” kenyataan
itu dipetik.
Mereka menambah, dokumen PPPM sendiri menyenaraikan 20
individu berkaliber menganggotai Pasukan Petugas Projek dan Pejabat
Pengurusan Projek (PMO) termasuk Pengarah Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) Dr Faridah Abu Hassan dan Pengarah
NKRA Pendidikan, Tengku Azian Tengku Shahriman.
“Jadi mengapa PMO tidak memilih untuk menggunakan kepakaran
dan tenaga kerja dalam Kementerian dan PEMANDU untuk menyediakan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025? Apa sebab Kementerian memilih
membazirkan RM20 juta demi mengupah pakar perunding yang mahal?
“Duit itu sebenarnya boleh digunakan untuk membina empat
sekolah baru dengan kos RM5 juta untuk setiap satu atau membina makmal
sains baru,” kata mereka.
Tambahan pula, menurut mereka, peranan McKinsey tidak didokumenkan langsung dalam PPPM 2013-2025.
Sehubungan itu, mereka turut mendesak Menteri Pendidikan,
Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sebab utama kerajaan sanggup
mengunakan wang pembayar cukai sebanyak RM20 juta hanya untuk mengupah
McKinsey and Co.
“Kami menggesa Muhyiddin menjelaskan mengapa RM20 juta itu
dibelanjakan demi mengupah McKinsey dan apakah beliau merancang untuk
terus menggunakan perkhidmatan firma itu dalam melaksanakan PPPM
Malaysia.
“Ini bercanggah dengan satu daripada 11 ‘anjakan’ PPPM
iaitu untuk ‘meningkatkan ketulusan akauntabiliti awam’ dan ia juga
tidak menyakinkan kami bahawa Kementerian akan menerbitkan laporan
tahunan yang telus atau akauntabel dalam menjejak kemaraan PPPM
2013-2025 seperti dijanjikan,” tegasnya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.