Halaman

Rabu, 25 September 2013

Demokrasi subur atau kabur? Oleh Edry Faizal

democracy

SUDAH lazim kita dengar pemerintah cuba menyumbat ke dalam benak rakyat bahawa demokrasi itu hanya pilihan raya. Cukuplah rakyat hanya membuang undi memilih wakil mereka melalui pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Selepas itu, rakyat boleh berbondong-bondong balik ke rumah masing-masing menyambung tidur menanti beberapa tahun lagi untuk ‘menjalankan demokrasi’.

Demokrasi buat rakyat akhirnya menjadi kenangan semalam, pada waktu yang sama sebuah penantian beberapa tahun lagi. Jarang sekali rakyat diingatkan bahawa demokrasi itu masih berjalan selepas pilihan raya melalui amalan akauntabiliti. Yang mana wakil yang dipilih rakyat harus bertanggung jawab dan menjawab kepada rakyat sepanjang penggal, bukan lima tahun sekali. Oleh itu perlunya ketelusan. Tanpa ketelusan, apa beza pemerintah dengan pekerja yang cuba menyembunyikan banyak kerosakan agar kelihatan hebat di depan majikan?

Apabila “demokrasi lima tahun sekali” dibudayakan, rakyat menjadi terasing daripada sistem yang meletakkan kuasa di tangan mereka. Persetankan apa yang sedang berlaku di sekeliling, apabila dipalu gendang pilihan raya nanti barulah pasang telinga kembali pada isu politik semasa.

Demokrasi merupakan sumber legitimasi pemerintahan daripada rakyat dan kesuburannya mesti terus dipupuk melalui akauntabiliti, ketelusan, tadbir urus yang baik serta pembabitan aktif rakyat. Bukan pesta setiap lima tahun sekali.

Demokrasi subur tanpa pilihan?

Ucapan Perasmian Sayap UMNO

Belum lagi pulih sepenuhnya pembebalan yang menghadkan demokrasi pada peti undi, kedengaran satu lagi jenaka baru dilaporkan di dada akhbar. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi menyebut kejayaan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO setelah menang tanpa bertanding menunjukkan amalan demokrasi terus subur dalam parti.

Pasti ramai yang ternganga. Jika memenangi suatu jawatan, yang memerlukan legitimasi ahli pertubuhan tanpa bertanding dikatakan demokrasi subur, memenangi jawatan dengan bertanding dan dipilih pula apa? Demokrasi mencanak?

Zahid Hamidi boleh memikirkan segala macam alasan lain misalnya bosnya itu begitu gagah mengemudi bahtera Pilihan Raya Umum ke-13 sehingga tiada yang mahu menentang. Akan tetapi mungkin kerana mahu kelihatan canggih maka beliau mengaitkannya dengan kesuburan demokrasi, membuatkan segalanya bertukar menjadi kelucuan. Bertambah ironi apabila akhbar sama turut melaporkan bagaimana seorang ahli UMNO dipukul bagi menghalangnya untuk bertanding di bahagian tertentu. Membuatkan ada di kalangan rakyat mula melihat itu cerita peringkat bahagian, bagaimana agaknya ‘sepak terajang’ di peringkat tertinggi?

Demokrasi tanpa sebarang pilihan bukan demokrasi yang subur. Hanya bernasib baik kerana mendapat kelebihan teknikal. Legitimasi yang disebut-sebut kononnya sokongan yang tidak berbelah bahagi, tidak dapat dibuktikan melalui amalan pemilihan, melainkan cuma hipotesis Zahid Hamidi.

Mana-mana parti politik sepatutnya cuba sedaya upaya mengamalkan apa yang mereka khutbahkan tentang demokrasi. Sekiranya mahukan demokrasi maka cubalah memastikan jawatan tertinggi dalam parti memperoleh legitimasi ahli. Jawatan tertinggi yang langsung tidak berdepan sebenar-benar pemilihan bagi membuktikan legitimasinya, dilihat tidak lebih sebuah mainan politik. Bukankah akar perkataan “pemilihan” itu adalah perkataan pilih.

Ya, itu semua masih dalam ruang demokrasi yang bermain dengan angka (bilangan undi, jumlah pengundi dan lain-lain). Namun sekiranya itu pun sudah sangkut, lupakan demokrasi yang lebih jitu. Bagaimana mahu subur kalau yang mudah pun kabur.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.