SHAH ALAM - [Kemaskni] Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetap tidak membenarkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), esok meskipun sudah dibenarkan Mahkamah Tinggi.

Semalam, Mahkamah Tinggi membatalkan saman yang difailkan oleh seorang anggota DAP, A David Dass untuk menghalang parti itu daripada mengadakan kongres khas untuk memilih semula  CEC seperti yang diarahkan ROS.

Guan Eng memaklumkan mengenai perkara tersebut melalui laman mikro Twitter miliknya, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

"Pendaftar Pertubuhan masih berdegil DAP tak boleh adakan pemilihan semula esok menerusi Kongres Khas sungguhpn Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur telah benarkan," tulisnya.

Semalam Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman sekali lagi meminta Guan Eng membaca dan memahami apa yang dinyatakan ROS berhubung pemilihan semula CEC parti itu.

Beliau menjelaskan ROS tidak pernah menyatakan DAP tidak boleh mengadakan kongres khas, sebaliknya mengingatkan parti itu agar mematuhi peruntukan dalam undang-undang tubuhnya sendiri semasa mengadakan pemilihan berkenaan.

“Dalam hal ini, penghantaran Notis Panggilan kepada anggota dalam tempoh 10 minggu seperti yang tercatat di dalam undang-undangnya harus dipatuhi," katanya.

Abdul Rahman juga berkata, tindakan mahkamah terhadap DAP adalah oleh anggotanya sendiri dan tidak ada kaitan sama sekali dengan ROS kerana mereka yang membawa perkara berhubung pemilihan CEC parti itu, yang tidak teratur, ke muka pengadilan.

Beliau berkata walaupun Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan hal ehwal parti adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dibawa ke mahkamah, ini tidak bermakna ROS tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan demi menegakkan kebenaran, khasnya apabila anggota parti terjejas.

"Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) adalah satu akta yang telah diluluskan oleh Parlimen dan semua pihak harus menghormatinya, dan ROS yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakannya," katanya.