KUALA LUMPUR - Masih belum ada sebarang tindakan diambil kepada mana-mana individu sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang asing tanpa izin (pati) ditubuhkan di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, suruhanjaya itu yang sepatutnya berakhir pada 21 September lalu dilanjutkan sehingga 21 Disember bagi menyelesaikan siasatan dan penyediaan laporan.

Menurutnya, kerajaan hanya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan projek pemberian kad pengenalan (Projek IC) palsu kepada rakyat asing di Sabah sebaik sahaja laporan penuh daripada RCI disiapkan sepenuhnya.

"Semua perkara yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya akan diambil tindakan. Kita akan tahu berapakah angka sebenarnya selepas siasatan selesai.

"Setelah siasat, ada kesalahan, kita pasti akan ambil tindakan, jadi kita minta bersabar dahulu, apa yang dibangkit dalam suruhanjaya itu bukan satu keputusan," katanya kepada Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Johari menerusi soalannya, meminta kerajaan menyatakan berapakah tangakapan yang telah dibuat terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah Projek IC di Sabah.

Menurut Shahidan, mana-mana pihak yang mengesan terdapat sindiket pemberian IC kepada warga asing, boleh terus membuat laporan kepada polis.

Suruhanjaya itu mula bersidang Januari lepas bagi menyiasat dakwaan kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.