Cadangan utama dalam Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (PCA) akan membenarkan kerajaan mengenakan semula tahanan tanpa bicara untuk tempoh dua tahun pada satu-satu masa, jika diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Antara cadangan dibentangkan pagi ini, seksyen baru 7B untuk membentuk lembaga pencegahan jenayah dengan tiga anggota, yang diketuai oleh hakim daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Ia akan diberi kuasa menahan individu yang didaftarkan bawah akta itu.
Penahanan boleh ditambah tetapi tidak lebih dua tahun pada satu-satu masa.
Seksyen baru 15A mencadangkan supaya semakan kehakiman terhadap keputusan atau tindakan lembaga tidak boleh dibuat, kecuali dalam perkara-perkara melibatkan prosedur.
Sebelum ini, Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan seletelah kritikan hebat dan berterusan kerana mempunyai kuasa menahan tanpa bicara. [Baca berita penuh]
Sementara Bernama melaporkan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 itu dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi bacaan kali pertama yang antara lain membenarkan penahanan tanpa pertuduhan jenayah atau tanpa perbicaraan sebagaimana yang pernah diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Kuasa perintah tahanan itu diberikan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah, yang akan ditubuhkan di bawah rang undang-undang itu, yang akan dipengerusikan sama ada oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi bersama dua anggota.
Rang undang-undang itu juga membenarkan polis menggunakan peranti pengawasan elektronik terhadap orang yang direman dan dibenarkan dilepaskan sementara menunggu inkuiri.
Rang undang-undang itu juga memasukkan satu seksyen baharu iaitu 7B dan 7C untuk menubuhkan Lembaga Pencegahan Jenayah bagi menggantikan menteri, dan anggota lembaga itu dilantik Yang di-Pertuan Agong.
Sementara peranan menteri adalah untuk mengemukakan laporan tahunan berhubung segala perkara berkaitan dengan peruntukan bahagian IVA kepada Parlimen, dan Parlimen turut diberi hak untuk mengkaji semula bahagian IVA setiap lima tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.