Selangorku, |
|
SHAH ALAM: Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berpeluang merasai prosiding sebenar di Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) sebagai ‘wakil rakyat’ melalui Program Adun Muda Selangor 2013, pada 16 hingga 18 Disember ini.
Program yang pertama kali dianjurkan itu adalah satu insiatif kerajaan negeri bagi mendidik golongan muda berkenaan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta memberi pendedahan kepada dunia politik di peringkat awal.
Speaker Dun, Hannah Yeoh, berkata objektif program itu adalah memupuk sifat kepimpinan dan saling bekerjasama di kalangan peserta serta melahirkan bakal pemimpin yang berkaliber serta bertanggungjawab.
“Program Adun Muda Selangor dianjurkan Pejabat Speaker dan Pejabat Dun khas untuk pelajar IPT sekitar Selangor untuk memberi peluang kepada mereka merasai prosiding sebenar sidang dewan,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dun, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Adun Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, program itu dibuka kepada pelajar berumur 18 hingga 24 tahun daripada IPT awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan mahasiswa.
“Pada tahun ini, hanya 30 pelajar yang akan dipilih untuk menyertai program ini. Jika sambutan yang diterima menggalakkan, kita merancang untuk melakukan program ini sebanyak dua kali, tahun depan,” katanya.
Katanya, peserta akan diberi peluang menyuarakan pendapat dan bertanya kepada pihak kerajaan berkenaan polisi, khususnya yang memberi impak kepada golongan muda, selain turut diberi kesempatan mencadangkan usul bagi memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.
“Peserta akan memainkan peranan sebagai Adun pada sidang dewan itu dan akan Speaker dan saya Timbalan Speaker. Program itu turut mendapat perhatian Exco kerajaan negeri yang dijangka akan mengambil tempat di dalam persidangan itu.
Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh membuat permohonan atas talian di laman sesawang www.adunmudaselangor.com, sebelum 8 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.