Bangunan KDN masih selamat  
Bangunan KDN yang mengalami retakan semalam. Gambar kecil: Mozek lantai yang tercabut secara tiba-tiba, kelmarin.



AYER KEROH – Bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, masih selamat diduduki berdasarkan kajian fizikal dilakukan selepas berlaku keretakan di beberapa bahagian, kelmarin.

Timbalan Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Zaidi Attan berkata, bangunan itu tidak mengalami sebarang kerosakan struktur kecuali berlaku retakan kecil pada dinding dan mozek lantai.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut akan dilakukan menerusi unit forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula semalam bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Menurutnya, kajian yang berkemungkinan mengambil masa seminggu atau lebih diharap akan mengenal pasti punca kejadian.

“Semasa tinjauan dilakukan tadi (semalam), kita melihat bangunan ini masih selamat diduduki, namun siasatan dilakukan forensik bagi mengambil tindakan segera keselamatan bangunan dari segi teknikal.

“Setakat ini, kita melihat dua tiang di bahagian tangga bangunan berlaku sedikit rekahan dan lantai di beberapa bahagian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Zaidi berkata, keputusan sama ada perlu sebarang tindakan susulan akan diputuskan selepas siasatan selesai dilakukan.

Bagaimanapun, beliau memandang berat perkara berkenaan, namun meminta  orang ramai khususnya kakitangan agensi di bawah kementerian itu tidak cemas terhadap tahap keselamatan bangunan terbabit.

Difahamkan, bangunan berusia lapan tahun membabitkan kos pembinaan sejumlah RM58.5 juta menempatkan beberapa agensi; antaranya Jabatan Imigresen negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Bahagian Kawalan Filem, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam kejadian kira-kira 3 petang kelmarin, lebih 300 kakitangan dan orang awam cemas apabila diarah mengosongkan bangunan selepas berlaku letupan kecil sehingga menyebabkan mozek lantai bilik jamuan VIP di tingkat empat tercabut secara tiba-tiba.