Halaman

Isnin, 4 November 2013

DAP: Kerajaan tanggung kerugian RM26 juta, pemaju lewat siapkan bangunan LHDN

OLEH DIYANA IBRAHIM

Ong Kian Meng melawat LHDNM dan membuat sidang akhbar di Jalan Persiaran Bangi, Selangor dengan pemberita. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 November, 2013. 


Ong Kian Meng melawat LHDNM dan membuat sidang akhbar di Jalan Persiaran Bangi, Selangor dengan pemberita. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 November, 2013.Ahli Parlimen Serdang DAP Dr Ong Kian Meng hari ini mendedahkan kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak RM94 juta berbanding kos asal, RM68 juta ekoran penangguhan pembinaan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Bangi, Selangor.

Menurut Ong, rancangan membina bangunan LHDN bagi Pusat Pemprosesan Pengeluaran dan Gudang itu adalah satu daripada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang sepatutnya siap pada Oktober 2011 lalu.

Bagaimanapun, ia  gagal memenuhi spesifikasi pemeriksaan Jabatan Bomba menyebabkan ia masih tidak dapat diduduki sehingga kini.
  
"Antara sebab utama bangunan masih belum dapat diduduki sepenuhnya kerana masalah banjir di kawasan tempat letak kereta bawah tanah yang masih belum dapat diatasi oleh kontraktor," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Ong, kontraktor juga gagal memenuhi piawaian Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sehingga menyebabkan Jabatan Kerja Raya terpaksa membayar RM758, 400 untuk bil utiliti dan khidmat pengawal keselamatan daripada tempoh November 2011 hingga Oktober 2013.

Menurut Ong lagi, kontrak pembinaan bangunan tersebut yang bernilai RM57.60 juta ditawarkan JKR kepada syarikat kontraktor S.N Akmida Holdings Sdn Bhd (SNAH).

"Kegagalan pihak pemaju juga menyebabkan LHDN terpaksa melanjutkan sewa di Pandan Indah Kuala Lumpur dengan kos RM7.05 juta dalam tempoh November 2011 hingga Oktober 2013," katanya.

Beliau kesal dengan kejadian seumpama ini dan berharap kerajaan serta pihak berwajib segera menyelesaikan masalah berkenaan memandangkan ia melibatkan wang rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.