Halaman

Sabtu, 16 November 2013

ISMA akan dedah bukti Marina Mahathir terlibat dalam COMANGO

Oleh Qurnisha Hamka
 
 
Post Pic
 
 
BANGI: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempertikaikan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah Sister in Islam Datin Paduka Marina Mahathir berkenaan isu COMANGO yang hangat diperkatakan kini.
 
Menurut Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya adalah mustahil untuk anak mantan perdana menteri itu tidak mengetahui perkara yang berlaku melibatkan organisasi pimpinannya.
 
Beliau turut menegaskan, pihak ISMA akan mendedahkan bukti melibatkan Marina dalam masa yang sesuai selepas timbulnya amaran dari pihak SIS untuk menyaman ISMA.
 
"Kita tengok, bergantung kepada keperluan masa. Misalnya jika ada keperluan perkara ini akan kita dedahkan kepada media," jelas beliau di dalam sidang media di Ibu Pejabat ISMA hari ini.
 
Selain daripada itu, Aminuddin menjelaskan bahawa Marina sebagai salah seorang daripada pengarah SIS, pastinya maklum dengan segala pergerakan badan itu termasuk keterlibatan dalam tuntutan yang dibawa COMANGO.
 
Malah katanya penafian yang dinyatakan lima hari lalu oleh Marina dilihat sebagai satu perkara yang sangat kontradik sebagai seorang pengarah dan ini memungkinkan sokongan SIS dalam membawa tuntutan itu. 
 
"Tetapi umum mengetahui Sister in Islam memang terlibat dalam tuntutan COMANGO ini dan beliau selaku pengarah ataupun pemimpin kepada Sister In Islam maka secara langsung atau tidak langsungnya sudah pasti terlibat di dalam proses menghantar tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
"Kita melihat begini, sebagai pemimpin dan sebagai ahli lembaga pengarah dalam sebuah NGO, atau syarikat atau mana-mana organisasi, adalah tidak logik untuk kita tidak tahu tidak faham dan tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
 
"Kemungkinan secara terperinci itu mungkin...biasalah, tidaklah bos nak buat secara terperinci, mestilah kerani dan sebagainya menulis, tetapi dalam perbincangan dalam keputusan-keputusan..sudah tentu beliau maklum dengan apa yang berlaku, kalau tidak tidak mungkin beliau boleh melabelkan diri sebagai pengarah ataupun ahli lembaga pengarah dalam pertubuhan itu, itu satu perkara yang saya rasa luar biasa kalau itulah kefahaman yang  beliau maksudkan," tambahnya lagi. 
 
Selepas pendedahan yang dilakukan ISMA berkenaan keterlibatan SIS dalam tuntutan COMANGO, Marina menuntut ISMA untuk menarik balik dakwaan "fitnah" yang mengaitkan beliau dengan dengan gabungan hak asasi manusia yang dilabel 'anti-Islam' tersebut. 
 
Walau bagaimanapun, ISMA mempertahankan kenyataanya yang mengaitkan anak sulung mantan perdana menteri itu dengan menegaskan pihaknya mempunyai bukti yang cukup untuk memperlihatkan sokongan Marina terhadap gerakan COMANGO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.