Oleh: Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak melancarkan operasi besar-besaran bagi memburu dalang Kad Pengenalan (IC) palsu yang diperolehi penjenayah termasuk warga asing.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata demikian susulan kejadian rompakan terbaru sebuah Kedai emas, di Setapak Kuala Lumpur semalam.
Dalam kejadian itu, polis mengesahkan suspek yang berasal dari Sabah menggunakan kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan peribadi kepada pemilik kedai emas terbabit.
Kes itu berlaku seminggu selepas kejadian rompakan dan tembak mati seorang pegawai Bank di Subang Jaya 24 Oktober lalu.
“Kita pertikaikan bagaimana pengawal keselamatan ini mendapat kad pengenalan palsu. Bagaimana rakyat yang tidak sah dapat IC dan seterusnya dapat kelebihan sebagai warganegara,” ujar Shamsul.
Menurutnya, operasi besar-besaran itu boleh dilakukan dengan memulakan siasatan ke atas kesemua syarikat kawalan keselamatan yang mendapat lesen senjata api.
“Siasat sekiranya berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa atau kemungkinan sendiket IC palsu ini didalangi pemimpin tertentu.
“KDN harus memberi jaminan tidak ada sektor keselamatan yang menyerap masuk warga asing termasuk dalam pasukan tentera atau polis hingga kemungkinan mereka menjadi pembelot,” ujarnya.
Menurut Shamsul, kes jenayah tersebut membuktikan projek IC yang didedahkan Pakatan Rakyat sebelum ini bukan sekadar propaganda seperti didakwa Barisan Nasional.
“Isu ini bukan sekadar bahaya kepada sistem pilihan raya, malah mengancam keselamatan dan membahayakan nyawa seperti yang berlaku di Lahad Datu, Sabah. Ini soal maruah dan kedaulatan negara,” ujarnya.
Pada 24 Oktober lalu, negara gempar apabila seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank, Norazita Abu Talib, 37, selepas mangsa membuka bilik kebal Ambank di Subang Jaya.
Pengawal itu turut melarikan kira-kira RM450,000. Polis kemudian melancarkan gerakan memburu pengawal itu dan menahan beberapa suspek. Bagaimanapun hingga kini, suspek masih belum diberkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.