KAJANG - Pihak berkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sewajarnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan tidak bertindak zalim merobohkan 13 warung milik peniaga Melayu di Taman Mesra di sini semalam.
Salah seorang peniaga, Md Jalil Mohd Zin berkata, perbincangan di antara wakil persatuan peniaga bersama MPKj seharusnya diadakan, namun ia tidak mendapat sambutan daripada pihak berkuasa terbabit.
"Sepatutnya berbincang, persatuan kami sudah berusaha untuk berbincang namun tidak mendapat sambutan. Majlis (MPKj) ini buatlah sesuatu yang baik, kami bukan keras kepala, kami juga tahu undang-undang.
"Kami sudah berumur, nak kerja yang lain dah tak boleh, berniaga sajalah. Bukan hendak jadi kaya, cuma nak cari makan sahaja. Kalau tempat kita pun susah nak cari makan macam mana, mana kita nak duduk lagi. Kami Bumiputera bukan kaum pendatang," katanya ketika ditemui Rakyat News di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Aiman Hairi Ahmad Alam mengakui berdepan dengan kesulitan apabila terpaksa memperuntukkan dua jam untuk mendirikan payung mudah alih sebelum dapat memulakan operasi perniagaannya.
Selain itu, permintaan pihak berkuasa supaya menjalankan perniagaan berbentuk Kiosk turut dipersoalkan.
"Bumbung dah tak ada, nak buka pun perlu ambil masa hampir dua jam. Nak berniaga Kiosk, nak berniaga apa?" katanya yang mengusahakan perniagaan Nasi Lemak Kukus.
Sementara seorang lagi peniaga, Hasni Ariffin berharap pihak berkuasa tempatan perlu memberi pertimbangan wajar sebelum membuat sesuatu tindakan yang disifatkan menyekat mata pencarian peniaga kecil dan para pekerja.
"Pekerja saya kira-kira 10 orang termasuk anak-anak muda, setidak-tidaknya dapat memberi peluang pekerjaan kepada mereka. Harap MPKj bertimbang rasa kepada kami dan pekerja kami," katanya.
Tambah Hasni yang mula berniaga di kawasan terbabit sejak lapan tahun lalu, konsep Kiosk atau 'Take Away' tidak sesuai dijalankan apatah lagi ia melibatkan jualan makanan dan minuman. Justeru itu beliau berharap supaya segala peralatan dan kemudahan yang digunakan untuk gerai dapat dikekalkan.
"Kami mohon untuk berbincang, kita bersedia untuk membuat pertambahan bayaran namun tidak mendapat maklum balas. Kami cuma mahu bumbung dan kerusi meja supaya dikekalkan," katanya.
Dalam kejadian Rabu lalu, kira-kira 70 orang anggota MPKj telah bertindak merobohkan warung melibatkan 13 peniaga Melayu di kawasan itu.
Ianya telah mencetuskan ketegangan dan pergaduhan sehingga menyebabkan pihak MPKj terpaksa mengerah anggota MPKj bagi meneruskan kerja-kerja perobohan.
Pihak berkuasa dikatakan meminta para peniaga supaya menjalankan perniagaan berbentuk Kiosk iaitu peralatan kerusi dan meja adalah tidak dibenarkan, selain hanya menggunakan payung mudah alih. [LAPORAN PENUH DI SINI]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.