ADA sebuah tulisan dalam majalah Tempo (keluaran Jakarta) edisi 14-20 Oktober 2013, menarik perhatian saya. Pelik sedikit, kerana ia dari ruangan yang menerbitkan kembali berita penting dari Tempo dulu-dulu, iaitu dari keluaran 30 November 1985. Namun, saya melihatnya masih relevan dan penting untuk kita di Malaysia.
“Ketika IAIN beralih kiblat” judul tulisan itu. IAIN ialah singkatan dari Institut Agama Islam Negeri. “Meski menyandang label lembaga pendidikan tinggi keagamaan, Institit Agama Islam Negeri tidak hanya mengajarkan soal agama. Bahasa yang diajarkan pun bukan cuma Arab, melainkan juga Inggeris. Selain menghafal kitab, mahasiswanya dituntut menguasai berbagai disiplin ilmu.
“Pola pendidikan moden di IAIN ini muncul belakangan.
Adalah Menteri Agama Munawir Sjadzali yang mengalihkan kiblat IAIN dari Timur Tengah ke Barat, sehingga menciptakan IAIN yang seperti sekarang.”
Demikian pendahuluan bagi tulisan itu sebelum ia menyiarkan kembali berita yang berusia 28 tahun tapi masih penting dan relevan itu. Apakah beritanya?
Beritanya ialah keputusan Menteri Agama Indonesia itu mengalihkan aliran pendidikan agama di Indonesia daripada berpuncak di Universiti Al-Azhar Mesir, kepada universiti-universiti di Amerika Syarikat dan Eropah.
Alasan peralihan kiblat atau puncak itu ialah: “Ia ingin IAIN tidak hanya mencetak ulama yang mengerti kitab, tapi juga mumpuni menjawab berbagai masalah lingkungan, sosial dan perkembangan dunia moden.”
Berikutan keputusan pada Oktober 1985 itu, 30 orang sarjana IAIN dihantar belajar di Amerika.
“Bukan untuk belajar agama, melainkan belajar bagaimana cara berfikir,” kata Menteri Agamanya itu.
Tempo November 1985 itu merakamkan beberapa reaksi terhadap keputusan tersebut.
Rektor IAIN di Jakarta, Achmad Syadali menilai langkah itu sebagai terobosan memecah kejenuhan pendidikan di IAIN. Menurut dia, pola pendidikan di Universiti Al- Azhar, Kahirah, Mesir yang selama ini menjadi kiblat IAIN, sudah tidak mampu memenuhi tuntutan zaman.
Rektor itu selanjutnya mengatakan metode pendidikan Al-Azhar terlalu terikat dengan pendapat mazhab. “Kurang ada keberanian mengkaji sendiri persoalan yang muncul,” katanya.
Akibatnya IAIN kurang mampu melahirkan “pemikir yang segar dan bebas”.
Bekas Rektornya, Harun Nasution yang pernah belajar di Fakulti Usuluddin Al-Azhar pada 1940-an, mengatakan pendidikan di situ sudah kuno kerana lebih menekankan aktiviti menghafal.
“Tak boleh melawan pendapat dalam buku wajib,” katanya.
Pendapat yang sama disuarakan oleh dosen IAIN di Yokyakarta, Muchnun Husein, yang menurutnya, kajian ilmu agama di Al-Azhar sering tidak relevan dengan persoalan kekinian.
Tokoh ilmuan terkenal, Nurcholish Majid berpandangan bahawa kualiti intelektual Islam di Mesir telah merosot sejak abad ke-13. Komentarnya: “Universiti Al- Azhar itu mirip pesantren.” Memang dia sendiri berpengalaman belajar di Pesantren Gontor. Tetapi selepas itu dia memperolehi PhD-nya di Universiti Chicago.
Manakala kritik paling keras terhadap Al-Azhar dilontarkan oleh Abbas Pulungan, dosen IAIN di Medan. Katanya, Al-Azhar tidak layak jadi kiblat IAIN kerana mutu pendidikannya tidak lebih tinggi berbanding IAIN. (Terdapat 14 IAIN di seluruh Indonesia).
Mengapa saya menyalinkan semula semua pandangan negatif terhadap Universiti Al-Azhar ini?
Apakah saya berniat jahat terhadap orang-orang yang pernah belajar di sana, atau terhadap universiti itu sendiri yang khabarnya sedang membuka cawangannya di negara kita?
Minta maaflah! Sama sekali saya tidak ada niat jahat seperti itu. Niat saya hanya untuk memberi sedikit pandangan lain, agar sama-sama kita fikirkan.
Apa salahnya kita berfikir sekejap mengenai perkara ini?
Sahabat-sahabat kita di Indonesia sudahpun memikirkannya 28 tahun yang lalu. Dan mengikut laporan Tempo itu, sejak 1985 lagi mereka telah mengubah kiblat pendidikan Islam mereka.
Saya tidaklah bermaksud membawa cadangan yang sama itu. Sekadar membuka fikiran sahaja. Apa salahnya, ‘kan?
Lagipun beberapa minggu kebelakangan ini terdengar agak riuh juga orang berbincang hal ulama yang diharap untuk memimpin PAS. Lalu terdengar jugalah mereka merujuk kepada ulama-ulama lulusan Al-Azhar, di samping lulusan-lulusan lain.
Saya sebenarnya agak kurang maklumat dalam hal itu. Apakah kebanyakan ulama kita adalah para lulusan Al-Azhar, atau bagaimana? Apakah lulusan Al-Azhar itu lebih terserlah kewibawaannya dibandingkan dengan lulusan daripada universiti lain, atau bagaimana?
Majalah Tempo itu pun bukanlah menyiarkan pandangan yang negatif sahaja. Ada juga pandangan yang positif. Misalnya daripada Quraisy Shihab, seorang ahli tafsir lulusan Al-Azhar 1982, yang menganggap pola pendidikan Al- Azhar sudah moden. “Dosen-dosen saya di Al-Azhar sangat terbuka,” katanya. (Waktu itu dia seorang dosen di IAIN Jakarta)Kolum ini memang pernah beberapa kali berwacana mengenai peranan ulama pendakwah di kalangan kita yang kurang berkesan. Waktu menulis itu pun saya tidaklah secara sedar merujuk kepada mana-mana lulusan. Maka apabila terbaca tulisan dalam Tempo yang berkenaan itu saya agak terfikir – apakah para ulama pendakwah kita itu lulusan Al-Azhar, atau lulusan mana?
Atau barangkali perbezaan suasana sosio-politik di Indonesia dengan Malaysia menyebabkan pandangan-pandangan negatif mereka terhadap Al-Azhar itu tidak sesuai dengan kita?
Mungkin bagi mereka Al-Azhar itu begitu, sedangkan bagi kita Al- Azhar itu lain pula. Lagipun itu adalah fikiran-fikiran mereka di tahun 1985. Sekadar berfikir.
>> Penulis boleh juga dihubungi dengan SMS 019-7172408
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.