X-klusif: 'Hidup macam dalam perang'  
 
Penduduk terpaksa berdepan dengan masalah banjir pada setiap tahun yang sedikit sebanyak membebankan mereka.

MASALAH banjir kilat di Kampung Segambut Bahagia, Segambut sudah berlaku sejak 10 tahun lalu lagi sehingga menjejaskan penempatan penduduk.

Difahamkan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat di kawasan tersebut, salah satu daripadanya disebabkan sistem saliran air sempit di kawasan ini.

Penduduk, Muhamad Adnan, 60, berkata, dia yang sudah menetap di kampung berkenaan sejak 14 tahun lalu berdepan dengan pelbagai situasi banjir yang berlaku setiap tahun.

“Banjir biasa berlaku pada November dan Disember setiap tahun dan ia menghantui kami yang menetap di kampung ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Muhamad, sistem saliran yang sempit tidak dapat menampung jumlah kapasiti air dari Solaris Dutaman, Mont Kiara dan kawasan sekitar kampung berkenaan.

Katanya, air dari kawasan berkenaan akan bertembung memandangkan sistem saliran sempit dan keadaan itu mengakibatkan banjir.

“Disebabkan itu, masalah banjir masih tak dapat diatasi sehingga hari ini,” katanya.

Selain itu, Muhamad berkata, banjir di kawasan tersebut berlaku juga disebabkan projek penambahbaikan jalan yang sedang giat dijalankan di kawasan ini.

Dalam pada itu, Ishak Zainal, 65, berkata, penduduk juga menanggung kerugian yang besar setiap tahun akibat banjir kilat.

"Kami macam dalam perang kerana perlu siap sedia sebelum ditimpa pelbagai kemungkinan.

“Macam mana tidur kami nak nyenyak kalau rumah dalam keadaan bahaya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Segambut Bahagia, Mohd Ishak Sidin berkata, pihaknya sebelum ini pernah memberikan cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menjalankan pembinaan saliran air terus ke Sungai Air Keroh berhampiran kampung ini.

Menurut Ishak, cadangan berkenaan dilihat dapat membantu dalam menampung jumlah kapasiti air yang dibawa masuk melalui saliran di kawasan kampung berkenaan.

“Cadangan tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan tindakan selanjutnya akan diambil selepas ia mendapat kelulusan daripada DBKL,” katanya.