Saya mengucapkan kepada semua
khususnya kepada yang rakan-rakan yang beragama Christian Merry Christmas dan
Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua. Bulan Disember ini merupakan bulan yang
paling sibuk bagi hampir semua orang untuk persediaan menyambut tahun baru itu.
Ibu bapa sibuk dengan persediaan persekolahan anak-anak.
Kali ini ibu bapa terpaksa
berusaha keras untuk mendapatkan harga yang paling murah dalam membeli
kelengkapan persekolahan anak-anak kerana setidak-tidaknya pendapatan mereka
berkurangan sebanyak RM100 kerana hujung tahun ini tidak ada bantuan untuk
anak-anak sekolah dari kerajaan. Sememangnya memang dijangka tidak akan ada
bantuan RM100 itu kerana pilihanraya sudah selesai dan yang menyandang masih
mendapat mandat. Tidak perlu lagi membeli jiwa dari rakyat.
Jika pilihanraya masih belum
diadakan mungkin lebih banyak bantuan akan diterima oleh ibu bapa seperti
tahun-tahun yang lepas. Malahan selepas pilihanraya ini, seperti selepas
pilihanraya-pilihanraya yang lalu, cukai akan dinaikkan dan segala subsidi yang
sudah tersedia diterima selama ini akan dikurangkan. Pendeknya subsidi
dikurangkan, cukai ditambah.
Bagi yang sudah menjadi kaya raya
seperti ahli-ahli politik yang memberikan bantuan RM100 kepada ibu bapa yang
miskin itu, sekarang berada di merata-rata bandar tersohor di seluruh dunia.
Didapati beberapa orang Menteri yang pernah menaiki hanya motorsikal dahulu
sekarang sudah berkemampuan untuk membeli belah hujung tahun di Harrods dan
Bond Street di Kota Raya London dan ada yang sudah mampu untuk berehat di
Austrian Alps di Austria.
Kalau kita berjalan-jalan di
kawasan Mayfair di London kita akan terserempak dengan pemimpin-pemimpin besar
negara kita berkeliaran di sekitar kediaman mereka dikawasan termahal di dunia
itu, dalam bulan ini dan awal bulan depan.
Ini lah kebaikan rakyat Malaysia yang
telah memberikan mereka (pemimpin) menjual harta benda mereka (rakyat) untuk
membolehkan pemimpin mereka membeli belah di gedung-gedung termahal di dunia.
Rakyat Malaysia
menghantar pemimpin mereka sebagai sebagai duta-duta mereka di gedung-gedung
termahal ini.
Mereka adalah rakyat yang taat
setia dan sanggup menghadapi dan mengharungi banjir besar seperti banjir di
zaman Nabi Noh dahulu baru-baru ini. Banjir yang melanggar kawasan-kawasan bandar
kerana hasil dari penebangan balak-balak besar untuk pemimpin dan ketua-ketua
mereka untuk berjoli di gedung-gedung besar dan tempat perjudian diseluruh
dunia.
Dalam masa keadaan rakyat
mengharungi bah dan banjir ini, mereka yang menyebabkan limpahan air yang besar
itu akan datang melawat dan memberi bantuan lima kilo beras dan beberapa tin
sardin dan biskut untuk menunjukkan terima kasih mereka kerana membenarkan
mereka membotakkan hutan untuk mereka berjoli dengan keluarga di hujung setiap tahun
seperti sekarang ini.
Di Pahang, negeri yang paling
aktif pembalakan, menghadapi banjir yang tidak boleh dikawal kerana limpahan
air dari tempat-tempat tadahan air yang sudah dibotakkan oleh pemimpin-pemimpin
dan mereka yang berkuasa di negeri itu. Mereka yang membotakkan hutan-hutan
yang menyebabkan kebanjiran ini selalunya akan berada di London di gedung-gedung membeli belah dan di
kasino-kasino terbesar di Kota Raya London itu.
Yang empunya negeri dan
balak-balak tersebut sekarang dalam keadaan paling susah kerana banjir yang
terhasil dari penebangan balak-balak mereka oleh orang atasan yang mempunyai
‘immunity’ dari segala tindakan undng-undang, dan menggunakan wang itu untuk ke
London, Switzerland dan negeri-negeri maju yang lain di dunia ini.
Nampaknya slogan ‘rakyat di dahulukan’
itu benar-benar berjaya. Yang menderita paling awal adalah rakyat, dan yang
paling dahulu menerima bencana dari kerakusan pimpinan itu adalah rakyat dan
yang paling dahulu menerima tuntutan dari PTPTN adalah anak-anak kepada rakyat
yang kehilangan balak-balaknya ketangan pemimpin-pemimpin mereka di Pahang,
Terengganu dan Johor itu.
Pemimpin kita sedang bermaharajalela
di kota-kotaraya termasyur didunia sedangkan rakyat bermatian di tanah air
untuk menyambung hidup di hujung tahun ini dalam serangan bah dan banjir yang
menjahanamkan harta benda mereka semua. Ramai yang berkata yang mereka tidak
ada apa yang baru, yang mereka akan lihat dalam tahun baru yang akan mendatang
hanya seminggu sahaja lagi itu.
Keadaan akan seperti biasa
sahaja. Yang rakus akan terus bermaharajalela, yang berjuang tetap dengan
perjuangan mereka yang tiada penghujungnya dan yang miskin tetap miskin dan terus
diperguna oleh pemimpin kedua-dua belah pihak untuk kepentingan peribadi
mereka.
Orang politik akan terus
menggunakan apa sahaja untuk modal politik mereka kerana kemajuan peribadi dalam
politik mereka itu adalah ‘ultimate’ bagi perjuangan mereka. Parti-parti mereka
pimpin itu adalah modal perniagaan mereka sahaja.
Sesungguhnya negara kita sedang
hanyut kerana dipimpin oleh pemimpin yang bermentaliti ‘orang darat dan orang
bukit’ dari kedua-dua belah pihak yang berbalah semata-mata untuk kuasa itu. Ada ‘orang bukit’ apabila
merasa naik jet-jet peribadi, mereka tidak dapat lagi menahan nafsunya untuk menjelajah
dunia dalam jet-jet eksekutif dan semuanya dibayar oleh rakyat.
Itu sebab pemimpin-pemimpin ini
apabila ‘terjumpa beras mereka akan bertanak tidak henti-henti’. Belum sampai
ke kerak, bertanak lagi sampai habis beras untuk rakyat. Kita sebenar-benarnya
ditadbir oleh orang bermentaliti ‘orang bukit’.
Yang hendak menggantinya pula
adalah pemimpin yang bermentaliti seperti ‘orang ulu’ yang bakal menyumbang
masalah yang sama besar jika tidak lebih besar lagi jika mendapat kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.