HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Disember 2013

Perak disaran contohi negeri PR sambut tahun baru

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menggesa kerajaan negeri serius dalam membasmi gejala sosial khususnya generasi muda pada sambutan tahun baru nanti.

“Jika dilihat pada setiap tahun, Pemuda PAS tidak nampak keseriusan kerajaan untuk membasmi masalah itu sebaliknya mengundang kepada masalah itu berleluasa dengan penganjuran program-program yang tidak menepati syarak.

“Ianya juga sekali gus melanggar etika yang digariskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohd Syamsul Alaudin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, kata beliau pihaknya menggesa kerajaan negeri melalui agensinya termasuklah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) agar lebih proaktif untuk meninjau perjalanan sambutan tahun baru khususnya di kawasan-kawasan tumpuan masyarakat agar aktiviti maksiat tidak sewenang-wenangnya berlaku.

Katanya, dalam penganjuran program sambutan tahun baru pada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan negeri langsung tidak sensitif dengan batasan agama apabila perjalanan program tersebut tidak menepati garis panduan yang diajar oleh Islam.

“Kerajaan Negeri Perak seharusnya mencontohi Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menganjurkan program-program bersifat keagamaan di malam tahun baru dengan menampilkan tokoh agamawan dan selebriti yang menjadi tarikan ke arah kebaikan,” katanya lagi.

Ini, ujar beliau secara tidak langsung mengurangkan kes gejala sosial di samping menarik minat masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama ke majlis yang lebih bermanfaat.

“Malam tahun baru ini adalah salah satu medan dakwah kepada masyarakat melalui penganjuran program-program bermanfaat namun ianya terletak kepada kebijaksaan kerajaan,” katanya.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS negeri memberikan harapan tinggi kepada kerajaan untuk mengerjakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin pada malam tahun baru ini.

“Pemuda PAS akan turun meninjau di samping mengambil peluang itu untuk menyebarkan dakwah di dalam kelompok masyarakat nanti,” kata beliau.

Tiada ulasan: