HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) sesi 2013-2015 telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam dengan diketuai oleh ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin.
Delegasi DPPWP telah disambut oleh ACP Rasdi, Ketua Turus Pentadbiran IPK sendiri.
Selepas muktamar yang lalu, pihak DPPWP telah mengadakan beberapa siri political engagements untuk mengukuh dan membina jambatan diplomasi bersama dengan pihak-pihak tertentu.
“Ini merupakan siri yang ketiga selepas lawatan ke pejabat media The Star mengenai isu Memali dan pejabat editorial Harakah pada 23 Disember lalu,” kata Khairil Nizam.
Tambahnya, tujuan kunjungan hormat kali ini diadakan adalah untuk mengemukakan kertas cadangan bagi merangka kerjasama dalam operasi bersepadu sempena sambutan malam tahun baru yang sering diadakan pada malam 31 Disember sehingga awal pagi.
Beliau berkata, seperti kebiasaannya, pihak DPPWP akan mengadakan program ekspedisi dakwah di beberapa lokasi tumpuan seperti di lingkungan ‘Segi Tiga Emas Kuala Lumpur’, sekitar Kuala Lumpur City Centre, kawasan rekreasi Putrajaya, Sri Hartamas dan Mont Kiara.
Katanya, DPPWP melihat krisis moral semakin bejat.
Menurutnya, pada bulan September lalu, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Batu Gajah serta mendedahkan sebanyak 417 kes pembuangan bayi telah direkodkan dalam tempoh 2009 hingga bulan Ogos 2013. Ini bermakna secara purata sebanyak 7 kes sebulan.
Dalam dapatan statistik yang lain juga, ujarnya pihak Jabatan Pendaftaran Negara telah mendedahkan seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tidak sah taraf direkodkan dalam tempoh 2008 hingga 2010.
Wilayah Persekutuan telah mencatatkan seramai 12,095 orang iaitu yang kelima selepas Sabah (41,490), Selangor (18,983), Sarawak (17,570) dan Johor (16,298).
“Maka, pada kali ini DPPWP melihat perlu wujudkan satu operasi bersepadu antara pihak-pihak berautoriti dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bagi membendung aktiviti-aktiviti tidak bermoral khususnya dikalangan anak muda,” ujarnya.
Menurutnya lagi, laporan-laporan yang didedahkan oleh pihak media sebelum ini telah membuktikan berlakunya aktiviti-aktiviti mungkar secara berleluasa.
Katanya, pihak polis Wilayah Persekutuan telah menyambut baik semua cadangan tersebut dan menggalakkan pertemuan-pertemuan seperti itu dapat diadakan pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.