Halaman

Ahad, 5 Januari 2014

Isu 'Allah': Pemimpin Umno tetap hadiri demo

MALAYSIAKINI




Beberapa orang pemimpin Umno Selangor tetap hadir ke perhimpunan bagi membantah pendirian pengarang mingguan The Herald berhubung penggunaan kalimah Allah, walau pemimpin parti itu mengeluarkan larangan supaya tidak berbuat demikian.

Pemimpin dan anggota Umno Selangor itu dikesan hadir dalam perhimpunan bersama kira-kira 100 orang anggota gabungan NGO Muslim, Sekretariat Solidariti Muslim Klang di Padang Kelab Sultan Sulaiman di bandar tersebut pagi ini.

Perhimpunan tersebut bagi mendesak pengarang mingguan Katolik tersebut Lawrence Andrew memohon maaf dengan tindakan beliau mempertahankan penggunaan nama Allah dalam penerbitan The Herald.

Ia berlangsung serentak dengan satu lagi perhimpunan oleh sekumpulan penganut Islam yang menunjukkan solidariti bersama penganut Kristian di perkarangan gereja Our Lady of Lourdes, juga di bandar sama.

Antara yang dikesan hadir dalam perhimpunan bersama Sekretariat Solidariti Muslim Klang itu ialah timbalan ketua Umno Kapar, Datuk  Saroni Judi.

Exco tidur?

Bercakap ketika ditemui Malaysiakini, Saroni berkata beliau bimbang kalimah Allah akan disalah guna dalam ajaran agama Kristian.

"Ini cara halus. Saya menyeru orang Islam di luar sana yang masih lagi tak faham, terutamanya orang-orang agama supaya ini bukan sahaja serangan pemikiran, tetapi serangan kepercayaan kita,

"Ini nak mewujudkan rasa mesra, bila sebut Allah tak rasa apa-apa. Nanti anak-anak kecil tanya, dalam Bible ada Allah, dalam Al-Quran ada Allah, jadi kita boleh ke gereja dan masjid untuk solat," jelasnya.

Saroni turut mengutuk exco hal ehwal agama Selangor, Sallehin Mukhyi yang mengaku kononnya tidak mengetahui serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible, Khamis lalu.

"Sama ada dia tak buat kerja atau exconya tidur. Atau exconya tidak bertanggungjawab atau tidak mahu ambil tahu. Kalau dia tak tahu, siapa lagi yang ambil tahu?

"Sepatutnya dia memang kena tahu. Ini menunjukkan exco-exconya tidak membantu pentadbiran negeri dengan baik

"Mana boleh saya sebagai exco tak tahu apa pegi saya buat, kena ambil tahu," kata beliau.

Dalam perhimpunan tersebut, Sekretariat Solidariti Muslim Klang mengumumkan, mereka mengirim surat bantahan melalui faksimili kepada ketua pengarang mingguan The Herald, Lawrence Andrew berkenaan isu pengunaan kalimah 'Allah' di Gereja.

Pengerusi bersama Sekretariat tersebut Mohd Khairy Husin berkata surat bantahan tersebut bagi menyatakan kekesalan mereka ke atas kenyataan Lawrence yang menegaskan bahawa orang Kristian akan terus menggunakan kalimah Allah.

Katanya, pendirian itu bertentangan dengan peruntukan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di kalangan orang Islam) 1988 yang memperuntukkan beberapa perkataan tidak boleh digunapakai orang bukan Islam.

"Kewujudan Enakmen ini dijamin oleh artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana walaupun terdapat penegasan seperti yang status kebebasan agama yang dijamin itu, ia bersyarat.

"(Oleh itu) Alasan hujah Perkara 11 (4) yang dikemukakan beliau (Lawrence) mestilah dibaca bersama [Perkara 11(1)] dan tidak boleh dipisahkan daripada klausa lain," surat bantahan itu dipetik.

Perkara 11 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Perkara 11 (4), yang menerangkan pengembangkan agamanya.”

Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.