HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2014

Masyarakat Islam, Kristian perlu faham undang-undang sebelum bahas kalimah Allah, kata bekas hakim

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah.

Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah (gambar) berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan.

Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

"Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang.

"Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam," kataya kepada Bernama di Menara Felda, Kuala Lumpur.

Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.

"Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh," katanya.

Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah. - Bernama

Tiada ulasan: