Tindakan diambil ke atas mereka yang tidak bertauliah.
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) memantau kemasukan pendakwah bebas dari luar negara yang mahu menyampaikan ajaran Islam di negara ini.
Mereka dari pelbagai terutama Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India dan Thailand mengadakan ceramah agama di masjid dan surau tertentu di dalam negara.
Penolong Kanan Pegawai Agama Jakim, Azwan Abdul Rahman memberitahu, bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana mereka sudah mempunyai kumpulan yang membawa mereka di negara ini.
Beliau menambah, penguatkuasaan ke atas pendakwah yang tidak bertauliah dibuat oleh majlis agama negeri masing-masing.
“Saya ingin menjelaskan bahawa orang ramai boleh membuat laporan pejabat agama jika ada pendakwah atau guru agama tanpa tauliah mengajar di tempat mereka.
“Penguatkuasa agama akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” tambahnya.
Azwan memberitahu, orang ramai perlu menggunakan khidmat pendakwah yang mempunyai tauliah bagi memastikan ajaran agama yang disampaikan mengikut syariat.
JAWI, JAIS kuatkuasa undang-undang
Manakala seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) penceramah yang tidak mempunyai tauliah tidak dibenarkan mengajar di masjid di Wilayah Persekutuan.
Katanya, arahan itu bagi memastikan mereka yang layak sahaja boleh berbuat demikian.
“Kami sentiasa memantau agar semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan agar mematuhi arahan itu,” katanya.
Beliau menambah, premis persendirian yang mahu dijadikan tempat agama mesti mendapat kebenaran dari pihak berkuasa agama.
Sementara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menguatkuasakan undang-undang bahawa hanya pendakwah yang bertauliah boleh mengajar di surau dan masjid di negeri itu.
JAIS juga tidak membenarkan pemimpin politik yang tidak mempunyai tauliah menyampaikan ceramah di masjid dan surau di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.