Umno Selangor melarang mana-mana pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) daripada mengadakan demonstrasi terhadap gereja kerana ia hanya akan menimbulkan masalah perselisihan antara agama, tetapi memberi amaran akan mengadakan himpunan besar-besaran membantah Paderi Lawrence Andrew yang mahu terus menggunakan nama Allah.
Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata, demo di gereja akan menimbulkan masalah lebih besar dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini disebabkan isu rampasan kitab Bible berbahasa Melayu yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.
Noh menegaskan, mereka bagaimanapun menyokong tindakan Jais merampas kitab berkenaan daripada sebuah gereja di Damansara pada Khamis, kerana institusi berkenaan bertindak berlandaskan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan di negeri berkenaan pada 1988.
“Umno Selangor bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Jais dan percaya mereka telah menjalankan tugas berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya ketika sidang media di Shah Alam awal hari ini.
“Umno Selangor tidak membenarkan (demonstrasi di gereja) daripada Umno dan NGO Melayu yang memperjuangkan isu ini. Jangan adakan himpunan dan bantahan di gereja. Kita tak mahu timbulkan konflik agama.
“Kalau nak buat nota bantahan, hantar terus kepada Paderi Lawrence. Jangan ganggu gereja. Agama Kristian mungkin tidak berfikiran seperti Paderi Lawrence. Jangan babitkan orang lain. Dia je punca,” kata Noh merujuk kepada Pengarang Mingguan Herald Lawrence Andrew yang berkata gereja di Selangor akan tetap mengunakan kalimah Allah di gereja.
Justeru, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menegaskan, Jais, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Umno tidak harus dipersalahkan dalam isu itu memandangkan Lawrence adalah pihak yang mencetuskan perkara ini.
“Kemungkinan Lawrence nak tunjuk besar kepala. Jangan terkejut, kita orang Melayu buat himpunan besar-besaran membantah tindakan beliau. Jangan salahkan Umno dalam hal ini. Jangan tuding jari kepada Jais, dan polis. Tuding jari kepada siapa yang menjadi punca. 26 tahun kita hidup aman tiada orang pertikai. Tiba-tiba Lawrence ini timbul,” kata ahli Parlimen Tanjung Karang itu lagi.
Isu rampasan 300 Bible berbahasa Melayu oleh Jais itu juga jelasnya tidak harus dilibatkan degan perbicaraan hak penggunakan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah, kerana ia merupakan isu di peringkat nasional.
“Isu ini tiada kena mengena dengan isu di mahkamah. Itu isu peringkat kebangsaan, nasional tetapi di Selangor dah lama ada enakmen.
“Saya nak berikan ingatan kepada pemimpin lain, luar daripada Selangor jangan campur tangan. Ini masalah Selangor. saya tak mahu komen negeri lain. Saya tak tahu pun jika (enakmen sama) ada di Sabah dan Sarawak. Pemimpin negeri lain jangan nak jadi hero nak selesaikan isu ini,” kata Noh lagi.
Noh juga menuntut pendirian Menteri Besar Selangor Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim berhubung hal itu dan tidak berdolak-dalih atas kepentingan politik.
“Selagi undang-undang ini tidak dipinda kerajaan negeri, ia masih sah. Selagi undang-undang ini ada, jangan cuba perlekehkan.
“Kita hanya tuntut Paderi Lawrence minta maaf. Kalau dia berdegil, Jais dan polis boleh teruskan. Tak payah ajar polis, Jais, tindakan mereka itu ikut undang-undang. Kalau tak puas hati mereka boleh ke mahkamah,” tegas Noh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.