Tiga
pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa (IMCA) dan Yayasan Media
Malaysia (MMF) akan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan
Amerika Syarikat di Malaysia pada Selasa depan.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata memorandum itu bagi
menzahirkan rasa tidak puas hati mereka sebagai rakyat Malaysia terhadap
tiga agensi berita dari Amerika Syarikat yang dianggap memberi
tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.
"Tiga agensi berita iaitu Cable News Network (CNN), Fox News dan
Washington Post yang pada kami tidak mengamalkan pemberitaan yang
bertanggungjawab dengan laporan yang disiarkan mengikut kaca mata mereka
sahaja," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama adalah Setiausaha Agung IMCA Sheikh Abd Kareem S Khadaied dan Ketua Pegawai Eksekutif MMF Dzulkarnain Taib.
Pada sidang media itu turut ditayangkan klip video analisis laporan berita sebuah agensi berita berkenaan.
Sheikh Abd Kareem menganggap ia sebagai gerakan terancang untuk memberi
persepsi negatif kepada masyarakat dunia terhadap Malaysia.
Dzulkarnain pula berkata MMF sedia menawarkan latihan di negara ini bagi pengamal media mengenai etika kewartawanan.
Pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines itu yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah
meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41
tengah malam.
Hasil penyiasatan dan analisis data satelit, perjalanan pesawat itu
disimpulkan berakhir di selatan Lautan Hindi. Operasi mencari masih
diteruskan dengan kerjasama pelbagai negara. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.