Ketua
Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem ketika sidang media di pejabatnya
di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING - Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem hari ini mengingatkan pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bahawa musuh sebenar mereka bukan antara sesama mereka dalam kalangan parti itu tetapi DAP.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata oleh itu pemimpin parti itu perlu menghentikan perbalahan dan pergeseran dalam parti dan menyelesaikan krisis kepimpinan secepat mungkin.
Berhubung kemelut dalam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Adenan berkata beliau tidak tahu tentang adanya usaha untuk menjatuhkan presiden parti Tan Sri William Mawan.
Timbul desas-desus bahawa 26 anggota Majlis Tertinggi SPDP akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Mawan kerana tindakannya menerima semula empat bekas pemimpin parti yang dipecat tanpa berunding dengan para pemimpin parti.
"Saya tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman parti-parti komponen tetapi jika konflik dalaman boleh melemahkan kekuatan Barisan Nasional (BN), maka saya sebagai pengerusi BN negeri berhak campur tangan.
Adenan berkata, beliau menyerahkan kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian secepat munmgkin.
"Saya tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak dalam parti komponen tetapi jika perbalahan berterusan untuk sekian lama dan menjejaskan kekuatan BN di negeri ini, saya mesti melakukan sesuatu," katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin masalah itu dapat ditangani tetapi berkata ia mengambil masa.
"Kita mesti menyelesaikan kemelut ini sebelum pilihan raya negeri akan datang iaitu lebih dua tahun daripada sekarang," kata beliau.
SPDP, yang berusia 11 tahun kini berpecah kepada dua kumpulan.
Kumpulan yang menentang keras Kumpulan Berlima (G5) kerana cuba menggulingkan Mawan sekarang berpecah selepas Mawan menerima semula empat bekas pemimpin parti.
Mereka ialah anggota dewan undangan negeri Tasik Biru Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).
Bekas anggota parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe dari Kumpulan Berlima yang membentuk Kelab BN bagaimanapun tidak diterima semula ke dalam parti kerana menentang calon BN Anthony Nogeh Gumbek pada pilihan raya umum tahun lepas.
Bagaimanapun, kemasukan semula empat lagi anggota kurang disenangi beberapa pemimpin parti yang mendesak supaya Mawan mengundur diri sebagai presiden parti.
Spekulasi bertiup kencang bahawa timbalan presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing akan mencabar Mawan bagi jawatan presiden semasa Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) tahun depan.
Adenan mahu para pemimpin SUPP yang bertelagah supaya menyelesaikan perbalahan mereka supaya parti kembali bersatu dan bertambah kuat semula sambil menambah sudah tiba masanya mereka menghentikan perbalahan.
SUPP terjerumus dalam krisis kepimpinan antara presidennya Tan Sri Peter Chin dan bekas timbalan setiausaha agung Datuk Wong Soon Koh bersama kumpulan masing-masing dan nasib mereka akan ditentukan Pendaftar Pertubuhan (ROS). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.