Halaman

Jumaat, 25 April 2014

'MT sokong kenyataan saya tentang hudud'

MALAYSIAKINI


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini bersetuju dengan kenyataannya bahawa kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum Allah SWT tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan.

"Mengenai hudud, Majlis Tertinggi mengambil maklum mengenai ucapan saya semalam dan (ia) hari ini dilaporkan (dalam akhbar).

"MT sokong apa yang saya telah lahirkan semalam. Kita tengoklah perkembangan selanjutnya atas isu itu," katanya.

Beliau yang presiden Umno berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada isu hudud dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu petang ini.

Berucap ketika merasmikan majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Alor Setar semalam, Najib antara lain berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

"Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

"Sebab itulah kita memerlukan ulama dalam kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baru dalam menentukan pelaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan," katanya.

Menjawab soalan pemberita berhubung cadangan Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya muzakarah antara Umno dan PAS diadakan bagi memastikan hudud dapat dilaksanakan, Najib berkata:

"Kita nak tahu apa cadangan PAS. Kita belum tahu lagi. Kalau PAS nak kemukakan kepada kita, (kita) sedialah.

"Kita sedia menengok apa yang PAS nak cadangkan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.