Halaman

Khamis, 24 April 2014

Nasib penoreh: Sekarang hujan, harga getah pula turun

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak menetapkan harga lantai secepat mungkin bagi mengurangkan keluh kesah para penoreh getah yang kini tertekan ekoran harga getah semakin menurun.

Pengerusi Lajnah Asas Tani PAS Pusat, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, penoreh getah terus terhimpit dengan keadaan harga getah yang semakin menurun apatah lagi cuaca sekarang yang membantutkan aktiviti mereka.

"Sekarang hujan, menoreh pun tak boleh sebab hujan. Harga pula turun. Masalah bertimpa-timpa datang kepada mereka.

"Menetapkan harga lantai yang sepatutnya sekurang-kurangnya boleh memberi kelegaan kepada petani," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, kerajaan tidak perlulah terlalu lama untuk mengambil masa menetapkan harga lantai kerana ianya melibatkan periuk nasi puluhan ribu petani di negara ini.

"Nak masuk dalam 'lab' jangan terlalu lama sangat, pekebun kecil makin tertekan," bidasnya.

Amiruddin juga tidak menolak harga getah berbeza-beza di sesetengah tempat kerana tidak ada sukatan yang tepat mengenai Dry Rubber Content (DRC).

"Apabila disukat dengan rambang dan ikut penilaian masing-masing, harga akan menjadi berubah-ubah di tempat berbeza-beza," katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan menggunakan cara yang lebih saintifik supaya lebih memberi keuntungan kepada penjual getah.

Kelmarin, pekebun kecil di Felda New Zealand Pahang mengadakan demonstrasi ekoran harga getah turun lagi kepada RM1.80 sekilogram.

Mereka turut memegang kain rentang yang tertera "Harga getah turun lagi, kami derita sengsara...di mana pemimpin Umno BN".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.