RAKYATNEWS
KEMAMAN - Seorang nelayan ditemui maut dalam sebuah bot gentian
kaca dalam keadaan bersujud di jeti nelayan Kampung Bukit Kuang di
sini.
Mangsa, Yusof Ali, 65, ditemui penduduk kampung pada kira-kira 8 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri.
Seorang saksi, Mohd Azwan Ramli, 32, berkata, ketika beliau minum di
sebuah warung, seorang kawan memaklumkan melihat mangsa yang sudah lebih
sejam tidak bergerak dalam bot gentian kaca itu dalam keadaan bersujud.
Mohd Azwan berkata, cemas dengan keadaan rakannya itu, beliau bergegas
ke jeti sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan menemui alat
sedut bagi penyakit asma di sisi arwah.
"Saya pergi ke jeti dan melihat mangsa serta memanggilnya beberapa kali
namun mangsa tidak menjawab sebelum memeriksa denyutan nadi yang sudah
tiada," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Azwan berkata mangsa tidak dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman
kerana dia meninggal akibat penyakit asma yang dihidapi.
Sementara itu, Lijah Ismail, 64, berkata, suaminya menghidap penyakit
asma sejak beberapa tahun lalu namun masih meneruskan kerja sebagai
nelayan yang dilakukannya sejak muda lagi.
Lijah berkata pada kira-kira 8 malam semalam suaminya pulang ke rumah
sebelum ke ke jeti semula sejam kemudian dan tidak pulang lagi selepas
itu.
"Saya tak ambil kisah bila arwah tak balik rumah semalam kerana
menyangka dia sedang membetulkan peralatan menangkap ikan dan tidak
menyangka sesuatu yang buruk berlaku padanya.
"Saya sangka dia berehat dan tidur di bangsal jeti dan turun ke laut
pada awal sebelah pagi, tapi sangkaan saya tidak benar bila saya
diberitahu arwah meninggal dalam bot miliknya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che
Hitam, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan kes
diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan