![]() |
Oleh Subky Latif
Saya banya mampu menyatakan takziah atas musibah bas dua tingkat antara Kelantan dan Kuala Lumpur di lokasi antara Raub dan Bentong dengan menyampaikan ungkapan Inna lillah wa inna ilaihirojiun ke atas semua – yang terbunuh dan yang cedera serta sekalian penumpang yang terselamat dan keluarga masing-masing
Kalimat-kalimat itu tidak sekadar kepada yang terkorban dan keluarga bahkan buat tragedi keseluruhnya syarikat bas dan warga pekerjanya.
Sekaliannya adalah mangsa musibah itu tetapi yang paling malang dalam tragedi itulah yang terkorban dan cedera parah.
Bersabarlah sekalian atas ketentuan Allah itu yang tentu ada hikmatnya. Apapun masing-masing telah tahu apa yang terjadi dan tahu nasib masing-masing. Selepas berduka cita beberapa ketika, maka bolehlah dibawa bertenang mengingati Allah atas kebijaksanaan-Nya.
Tidaklah masing-masing terus berteka teki dan gundah seperti keluarga pesawat MH370 yang sudah sebulan lebih belum diketahui nasib sebenar.
Adapun tindakan yang mungkin dikenakan pada pihak yang cuai dalam musibah bas dua tingkat itu tentulah tidak dibuat atas dendam, ia berlaku justeru kecuaian manusia, tiada siapa yang mengsengajakannya. Tindakan yang dikenakan bukan kerana tidak redha atas takdir, tetapi ia bagi meningkatkan keprihatinan berkhidmat sebaik mungkin, beringat-ingat betapa kecuaian menyusahkan banyak pihak.
Siapa yang banyak sabarnya banyaklah kebaikannya di sisi Tuhan seru sekalian alam.
Tentang kejadian itu teringat saya sekitar 10 tahun dulu, anak saya yang belajar di Maahad Muhamadi Kota Bharu yang hendak ke Kuala Lumpur dengan bas dua tingkat. Antara yang mendorongnya ialah untuk merasa pengalaman mengembara dengan bas dua tingkat. Bas setingkat sudah biasa.
Pak Lah, Dato Abdullah Che Nawi, Exco Kelantan yang ketika itu belum jadi wakil rakyat, menasihatkan saya supaya memveto cadangan anak saya itu kerana pada pandangannya, pengembaraan bas dua tingkat buat negara kita lebih banyak negatif dari positifnya.
Apa lagilah pengembaraan itu jauh dan malam. Dia tidak menasihatkan anak saya mencari pengalaman yang diingininya.
Nasihat itu kami terima. Saya pun jadi macam Duta Amerika di PBB memveto apa juga resolusi yang menyusahkan Israel. Saya veto.
Saya tidak minta hujah terperinci daripada Pak Lah tentang bahayanya lebih banyak dari kebaikannya. Mengapa penggunaannya lebih berisiko buat negara kita daripada tempat lain?
Pengetahuannya tentu boleh dikongsi oleh penguasa jalan raya, penguasa kenderaan bermotor dan bahagian keselamatan ralan raya di PDRM, JPJ dan lain-lain.
Jika perkhidmatan bas dua tingkat hendak digunakan sebagai perkhidmatan penting, apa yang perlu disedia dan diadakan supaya risikonya adalah minima.
Bagi pengusaha yang mahu mengurangkan kos penyelenggaraan bas dua tingkat mungkin lebih menguntungkan. Lebih banyak penumpang boleh diangkut dengan sebuah kenderaan dalam satu perjalanan, mengurangkan pemandu dan pekerja. Mungkin menyelaraskan bagi semua bas dua tingkat saja, tuntutan menaikkan tambang berkurangan justeru pendapatan yang dijana berbaloi dibandingkan dengan kos penyelenggaraan itu.
Apa pun keutamaan untuk semua ialah keselamatan. Pilihan untuk semua keselamatan dan kemudahan.
Saya berterima kasih atas pandangan Pak Lah. Apa yang ingatkannya 10 tahun telah membantu saya mengelakkan keburukan. Sekalipun bas setengah juga selalu menemui musibah, tetapi risikonya kurang. Walapun bas dua tingkat jarang musibah tetapi risikonya buruknya lebih dari bas setingkat. Gayat naik dua tingkat lebih dari yang setingkat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.