HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mei 2014

Diplomat AS perlu bertindak ketika Malaysia salah guna hak asasi manusia, kata aktivis

OLEH JENNIFER GOMEZ


Diplomat Amerika Syarikat di Malaysia perlu beri lebih perhatian terhadap hak asasi manusia di negara ini, kata Timbalan Pengarah Asia, Badan Hak Asasi Manusia, Phil Robertson. Gambar fail.Diplomat Amerika Syarikat di Malaysia perlu beri lebih perhatian terhadap hak asasi manusia di negara ini, kata Timbalan Pengarah Asia, Badan Hak Asasi Manusia, Phil Robertson. Gambar fail.






























Penyokong hak asasi manusia antarabangsa mendesak diplomat Amerika Syarikat (AS) di Malaysia tidak berdiam diri mengenai penyalahgunaan hak asasi manusia di negara ini susulan daripada kenyataan Presiden Barack Obama dalam lawatannya di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Asia Badan Hak Asasi Manusia, Phil Robertson menyeru Duta AS dan pasukannya untuk memberi tekanan kepada Malaysia supaya mematuhi standard hak asasi manusia antarabangsa.

Beliau berkata, diplomat AS di sini mempunyai peranan penting untuk mendorong kerajaan Malaysia mengambil langkah lebih baik dalam menangani isu hak.

“Lawatan Obama secara amnya positif dalam membangkitkan isu hak asasi manusia, ada perbincangan dalam forum terbuka di mana beliau membuat beberapa kenyataan penting.

“Sekarang, terpulang kepada diplomat di sini untuk membuat susulan dan berada di situ ketika Perkasa menyerang kumpulan LBGT (lesbian, gay, biseksual, dan transgender) dan bercakap ketika Malaysiakini diancam dengan saman fitnah oleh perdana menteri Malaysia.

“Ini adalah antara isu yang duta dan pasukannya patut ambil tindakan secara kerap,” kata Robertson kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, AS berada pada kedudukan sesuai untuk membangkitkan isu itu dan kerajaan Malaysia biasanya akan mendengar kata-kata mereka.

Robertson berkata, sementara kedua-dua negara berbincang mengenai pelbagai isu termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan perjanjian Kerjasama Trans Pasifik, ia tidak sepatutnya melupuskan komitmen AS untuk membangkitkan isu hak asasi manusia, secara terbuka.

Ketika lawatannya ke Malaysia bulan lalu, Obama ketika bercakap dalam satu forum bersama pemimpin belia Asean berkata, Malaysia perlu memastikan bukan Islam di negara ini turut menerima peluang sama seperti masyarakat majoriti Islam jika negara ini mahu terus berkembang.

Obama juga bertemu dengan 10 kumpulan persatuan sivil yang mengemukakan isu hak asasi manusia ketika presiden itu berada di sini.

Gesaan Robertson supaya AS memberi lebih perhatian kepada rekod hak asasi manusia di Malaysia berikutan nada reformis yang diluahkan Datuk Seri Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah hilang dan berganti dengan kerajaan yang menggunakan undang-undang menindas seperti Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman untuk melumpuh atau menyingkirkan ahli pakatan pembangkang.

“Ia adalah cara pencabulan terhadap kebebasan bersuara, kebebasan perhimpunan awam secara aman dan kebebasan berpersatuan.

“Sebelum PRU13, saya mendapati dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Malaysia mungkin menjadi negara paling maju atau merosot dalam cara tertentu, malangnya ia sudah merosot,” katanya.

Beliau juga mengkritik Najib kerana begitu mudah tersinggung sehingga mengancam untuk mengambil tindakan terhadap portal berita Malaysiakini.

“Sebagai pemimpin yang membuat keputusan untuk terbabit dalam urusan awam, PM tidak sepatutnya mudah tersinggung, beliau perlu kuat kerana politik adalah sukan yang kasar.

“Ia adalah kes di mana pembaca memberi maklum balas terhadap satu artikel, ia asasnya adalah surat pembaca kepada pengarang.

“Jadi adakah selepas ini PM akan pergi dari pintu ke pintu dan menyaman setiap rakyat Malaysia yang bercakap sesuatu yang beliau tidak suka,” katanya.

Penyokong hak asasi manusia juga melahirkan kebimbangan terhadap kumpulan agama minoriti menjadi sasaran di Malaysia, seperti dilihat dalam penganiayaan golongan Syiah dan kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah.

Robertson berkata, di satu pihak, kerajaan begitu ghairah meneruskan larangan Allah digunakan oleh Kristian di Selangor dan semenanjung Malaysia, tetapi pada masa sama ia memberi jaminan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak yang bible berbahasa Melayu mereka ‘tidak akan disentuh’.

“Ini seperti bermain api kerana anda mengandaikan boleh menolak agenda ini sehingga ia akan memberi hasil kepada politik tanpa ia menjadi luar kawalan, ini amat membimbangkan,” katanya.

Robertson berkata, keadaan ini berlaku kerana Putrajaya tidak selamat secara politik, menyebabkan Umno menjadi semakin berhutang kepada elemen konservatif yang berfikiran sempit mengenai hak asasi manusia.

Beliau berkata, sebenarnya apa yang diperlukan ialah Malaysia menghormati hak asasi manusia di mana semua kumpulan agama dan etnik dilayan secara adil dan saksama mengikut undang-undang.

“Ini adalah kestabilan yang diperlukan oleh Malaysia untuk mara ke depan, tetapi setakat ini, terlalu ramai yang merasakan ia tidak berlaku seperti itu,” katanya.

Sementara Robertson mengalu-alukan usaha penyokong hak asasi di Malaysia, beliau mengkritik Putrajaya kerana mencemari hak kebebasan berpersatuan dengan menggunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Akta Pertubuhan.

“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan berada pada kedudukan dikawal secara politik dan dimanipulasi oleh kerajaan Malaysia dan organisasi yang bersikap kritikal terhadap kerajaan tidak akan diberi kelulusan tanpa sebarang penjelasan.

“Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan secara tersembunyi yang berlaku sejak berdekad lamanya, ia perlu dihentikan,” kata Robertson.

Tiada ulasan: