Liew Chin Tong
Memasuki gelanggang persaingan idea, pembangkang memainkan
peranan utama dalam menentukan agenda untuk “dicuri” kerajaan. Tetapi
kita tidak seharusnya berhenti di situ. Kita perlu meneruskan desakan,
dengan idea baru yang lebih baik, dipandu dengan kerangka falsafah yang
kita dukung.
Sejak Ketua Pemuda UMNO Hishammuddin Hussein (kini Naib
Presiden UMNO) menghunus kerisnya pada Julai 2005, pembangkang telah
dimanfaatkan dengan “bulan madu” yang agak panjang dari pengundi
bukan-Melayu. Penurunan mendadak sokongan Cina dalam PRK Teluk Intan
barangkali sebagai petanda bahawa keghairahan “anti-UMNO” selama
sembilan tahun ini telah menyurut.
Mungkin setakat itulah yang boleh dibawa sentimen “Kami
bukan UMNO”. Apabila keghairahan ABU (Asal Bukan UMNO) menyurut, maka
pembangkang perlu mencapai kemenangan dengan menawarkan idea yang lebih
baik di peringkat nasional, dan mentadbir dengan idea yang lebih baik di
peringkat negeri.
Ramai di kalangan pembangkang berpegang kepada idea bahawa
tidak usah kita mengajar Barisan Nasional untuk menjadi “celik” dengan
menawarkan dasar kita untuk ditirunya. Dengan kata lain, kita tidak
perlu bekerja keras untuk mencanangkan idea. Bagaimanapun, saya tidak
bersetuju dengan pandangan sedemikian. Mengapa?
Pembangkang di Malaysia tidak berpeluang untuk terlibat
dalam penggubalan dasar – tapi ini bukan bermakna bahawa wakil BN
memiliki peluang tersebut.
Jika dahulunya pegawai kakitangan awam kanan yang memainkan
peranan penting dalam pembentukan dasar, kini tugas “pemikir” telah
di-”outsource” kepada badan swasta. Vendor, kontraktor dan perentir
memaklumkan kerajaan apa yang harus dilakukan. “Alat mainan” pertahanan
dibeli oleh kerajaan dengan mengengkari nasihat daripada angkatan
tentera. Bandar dibina atas nasihat pemaju. Lebuhraya dibina untuk
memenuhi keperluan pemegang konsesi. Rangkaian LRT dan terowong saluran
air dibina kerana tokoh kroni telah membeli sebuah jentera membina
terowong pintar – yang bertujuan untuk meredakan situasi kebanjiran
tetapi tidak begitu pintar ketika berfungsi.
Maka tugas pertama pembangkang Malaysia adalah untuk
menuntut kembali ruang awam daripada badan swasta berkepentingan dan BN.
Kita perlu mencurahkan kesungguhan yang setara untuk membincangkan soal
pendemokrasian dan keadilan ekonomi, sebagaimana kesungguhan kita
berperang dengan UMNO dan kumpulan yang sewaktu dengannya seperti ISMA
dan PERKASA dalam dasar identiti (kaum, agama dan raja).
Banyak persamaan dikongsi oleh parti-parti komponen Pakatan
Rakyat dalam bidang pendemokrasian dan keadilan ekonomi. Barangkali
dalam bidang ini juga BN boleh “mencuri” dasar kita, tetapi sekadar
bentuk luaran tanpa menghayati jiwa dan roh di dalamnya.
Contohnya BR1M. Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan
Rakyat telah mengadakan mesyuarat mingguan antara Julai dengan September
2011 untuk merangka belanjawan alternatif. Ini antara usaha kita,
setelah berjaya merangka satu dasar bersama pada Disember 2009.
Pada Julai 2011, Pakatan mengumumkan untuk memberi tumpuan
terhadap peningkatan mutu kehidupan 60% warga Malaysia terbawah dari
segi pendapatan. Pakatan menekankan betapa pentingnya untuk menghapuskan
monopoli, rasuah dan kegiatan merentir (rent-seeking) – agar
‘pendapatan boleh guna’ bagi golongan 60% terbawah ini boleh
ditingkatkan.
Kita menganjurkan bahawa kerajaan perlu menawarkan
kesihatan awam, pengangkutan awam dan perumahan awam yang lebih baik.
Kita juga menekankan dasar gaji minima, mengurangkan kebanjiran
pendatang asing yang tidak berkemahiran, disusuli dengan usaha membantu
usahawan kecil dan sederhana untuk menaiktaraf industri mereka dengan
teknologi dan daya pengeluaran yang lebih tinggi – lantas menawarkan
lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran yang pendapatannya lebih
tinggi secara perbandingan.
Sejurus selepas pengumuman Pakatan itu, Timbalan Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan BN akan bersaing dengan
Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kehidupan golongan 60% terbawah.
Keesokannya, seorang kawan daripada kerajaan memberitahu saya bahawa
pasukannya diminta untuk berusaha ke arah itu tanpa mengubah kerangka
ekonomi yang memanfaatkan kroni. Hasil produknya bernama BR1M.
Kita boleh mendakwa bahawa berkat usaha Pakatan, kerajaan
terpaksa memberi tumpuan terhadap golongan 60% terbawah, tetapi kita
perlu terus menerokai dasar yang pelbagai untuk memperbaiki kehidupan
60% dari bawah – bukannya dasar bersifat sementara semata-mata yang
boleh diibaratkan seperti menghulurkan candu apabila wang tunai
dihulurkan sekaligus.
Begitu juga dengan royalti 20%. Pakatan yang menjuarai isu
itu dan akhirnya ia menjadi sesuatu yang diperkatakan semua orang.
Mungkin pada satu hari nanti, seseorang daripada kerajaan yang mahu
dirinya kekal relevan dan popular akan terdorong untuk bertindak, atau
sekurang-kurangnya berjanji untuk bertindak, bagi menangani isu ini.
Jadi, pembangkang tidak seharusnya berhenti sekadar menjana
isu. Kita perlu mendalami asas ekonomi yang sebenar kerana adalah
penting untuk kita menentukan agenda. Seandainya kita gagal menentukan
agenda, maka UMNO dengan badan-badan NGO sekutunya yang berkepala keras
serta propagandis Biro Tata Negara tajaan kerajaan akan terus menjadikan
perkauman, agama, dan raja sebagai isu yang mencuri perhatian, tatkala
kroni terus merompak khazanah negara tanpa dipantau sesiapa.
Akhirnya kita mahu menggegar kroni-kapitalisme UMNO-BN
untuk menunjukkan kepada semua warga Malaysia bahawa satu paradigma
pembangunan yang berbeza adalah mungkin. Kita boleh meruntuhkannya
sistem kroni ini seandainya kita menggali dengan cukup dalam. Alternatif
yang kita dokong bakal membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang
lebih dinamik ekonominya dan menghasilkan pembangunan yang lestari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.