HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Jun 2014

Pilih jalan yang benar, bukan jalan tengah, kata Kula kepada KPN

Kulasegaran

Roketkini.com


IPOH: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mengambil jalan yang benar, bukannya jalan tengah bagi menyelesaikan pertikaian hak penjagaan anak antara bekas pasangan berbeza agama.

Peguam M Indira Gandhi, M Kulasegaran berkata, kenyataan Khalid bahawa polis bersikap ‘neutral’ dalam kes membabitkan keputusan bertentangan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mencetuskan kemarahan di seluruh negara.

“Adakah KPN boleh mengabaikan perintah mahkamah? Jawapannya senang sahaja – tidak. Jika beliau tidak pasti apa tindakan yang perlu diambil, beliau perlu mendapatkan nasihat Peguam Negara.

“Maka saya mendesak Khalid agar tidak menangguhkan pelaksanaan waran tangkapan (terhadap Mohd Ridzuan).

“Beliau perlu membuat perkara yang betul selaku anggota polis. Beliau perlu mengambil jalan yang benar, bukan apa yang dikatakan sebagai ‘jalan tengah’,” kata Kulasegara yang juga Naib Presiden DAP.

Pada 24 Jun lalu, Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Khalid mengarahkan polis mematuhi arahan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengesan Mohd Ridzuan dan seterusnya memulangkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa kepada Indira.

Namun, Khalid semalam menegaskan polis tidak akan melaksanakan perintah mahkamah itu, sebaliknya hanya mengarahkan polis Perak untuk mengesan Mohd Ridzuan dan memastikan keselamatan Prasana.

Dalam satu kenyataan lain, Kulasegaran menggesa polis meluaskan lokasi mengesan Mohd Ridzuan Abdullah, memandangkan maklumat menyatakan Ridzuan bersembunyi di Kota Bharu, Kelantan.

“Ketua Polis Daerah Ipoh Sum Ching Keong menerangkan bahawa usaha telah diambil untuk mengesannya. Dalam tiga hari ini, polis telah ke pelbagai lokasi, termasuk rumah ibu, abang, kawan dan beberapa lagi.

“Kami tekankan kepada beliau (Sum), tak guna hanya mencari di sekitar Ipoh kerana menurut sumber kami, Ridzuan sedang bersembunyi di Kota Bharu. Peguamnya sendiri mengesahkan maklumat itu.

“Kami juga meminta polis turut mencari di kawasan sempadan, kerana Ridzuan diketahui kerap ke Thailand sebelum ini. Kami akan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertemu pegawai siasatan yang berkaitan isu ini,” katanya lagi.

Kes ini semakin rumit apabila KPN dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi saling mengelak dan menolak tanggungjawab menyelesaikan kes yang telah berlanjutan selama kira-kira lima tahun ini.

Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini agar kes diselesaikan di Mahkamah Persekutuan pula dilihat sebagai dolak-dalik semata-mata memandangkan keputusan sudah pun diperolehi apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan keapada M Indira. – Roketkini.com

Tiada ulasan: