Ahmad Zaki Alwi Ahmad Zaki Alwi


KUALA LUMPUR - Walaupun berstatus orang kurang upaya, ia tidak menghalang mereka bersama-sama menyertai himpunan aman Selamatkan Anak-anak Gaza anjuran Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Syarif yang disertai ribuan peserta yang lain.

Biarpun terpaksa berjalan kaki beberapa kilometer ke Dataran Merdeka, semangat masih dikuatkan demi memberi sokongan terhadap penduduk Gaza.

Bagi Kumaran Nair, laungan pembelaan terhadap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin jadi lebih bermakna walaupun terpaksa berdiri hampir dua jam bersama peserta lain.

"Kami ingin Israel hentikan serangan terhadap Gaza, semua perlu bangkit dan tentang Israel habis-habisan.
"Rakyat Malaysia harus beri sokongan terhadap penentangan Israel, bantulah penduduk Gaza dengan usaha dan semangat kita selagi terdaya," katanya ketika ditemui Sinar Online hari ini.

Di tengah perit panas matahari, dia dan rakan dilihat turut melaungkan kata-kata desakan bagi pembebasan rakyat Gaza di Palestin.

Bagi Ahmad Zaki Alwi pula, kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk menyertai himpunan kali ini.
"Dengan kemudahan pengangkutan yang ada, saya berjaya sampai ke dataran kira-kira 30 minit himpunan bermula.

"Himpunan ini merupakan bukti rakyat di negara ini cukup prihatin dengan keadaan penduduk di Gaza, ia bukti bahawa rakyat kuat dan mampu bersatu dalam sebuah matlamat iaitu bersama-sama menentang kekejaman terhadap Israel," katanya.