[ULASAN] Dua tahun
lalu Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendesak Datuk Hasan
Ali untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Agama kerana beliau sudah
ditolak oleh PAS, malah dipecat parti itu.
Demikian kata-kata Khalid. Namun hari ini Khalid berada dalam keadaan yang tidak jauh berbeza daripada Hasan.
Dalil yang mendorong pemecatan Hasan dan desakan untuk Khalid berundur
sebagai MB adalah sama – iaitu seseorang pemimpin yang ditolak oleh
partinya hilang hak untuk terus menyandang jawatan itu.
Tidak kira jawatan itu Exco atau Menteri Besar.
Mengimbas kembali kenyataan Khalid bersabit Hasan, Menteri Besar itu
berkata apabila ditolak oleh PAS, Hasan harus mengambil jalan tertib dan
berundur.
"Saya berpendapat beliau (Hasan) sebagai seorang 'gentleman' perlu
melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk
kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat," kata Khalid ketika
itu.
Pada hari ini PKR jelas sudah menolak Khalid, hanya belum memecatnya daripada parti sahaja.
Ini mungkin kerana PKR masih mengharapkan Menteri Besar itu juga akan bersikap “gentleman” dan rela berundur.
Bagaimanapun PKR sudah menunjukkan tanda-tanda ia sudah hilang sabar
dalam usaha untuk meyakinkan Khalid supaya berundur tanpa mengaibkannya
secara terbuka.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution semalam mendedahkan
tingkah laku mencurigakan Khalid dalam menyelesaikan saman RM67 juta
dengan Bank Islam.
Begitu juga dengan cara Khalid mengendalikan penjualan tanah kerajaan
negeri kepada sebuah syarikat dan pemberian projek rumah mampu milik
kepada Eco World.
Tiga contoh itu hanya secebis daripada laporan 50 muka mengenai wibawa
Khalid yang akan disampaikan kepada PAS serta DAP hari ini.
Ia bertujuan meyakinkan pimpinan tertinggi PAS bahawa Khalid bukanlah
Menteri Besar berwibawa yang difikirkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Jika PAS menerima laporan itu, maka tidak ada alasan lagi untuk parti
itu mempertahankan Khalid. Namun adakah PAS akan membuat keputusan
tanpa memberi Khalid peluang untuk membela diri?
Apa pun isu jawatan Menteri Besar Selangor akan terus dibelit dengan pelbagai kemungkinan.
Lebih mudah jika Khalid, malah PAS berpegang kepada dalil sama yang
digunapakai untuk menghalalkan pemecatan Hassan daripada exco kerajaan
negeri dua tahun lalu.
Tidak mungkin Khalid kurang budiman atau “gentleman” berbanding Hasan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.